Sunday, December 21, 2014

Terkejut!

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam semua.

Tajuk saya hari ini berkenaan hal yang tiba-tiba berlaku atau muncul dalam hidup kita yang buat kita terkejut! Haha. Pening kepala saya kadang-kadang bila berdepan perihal hal yang datang secara terkejut-tergempar ini. Tetapi apa hendak dikata, hal sudah berlaku di depan mata, hendak atau tidak, kenalah hadapi, bukan? Kadang-kadang hal terkejut buat kita gembira. Contohnya dapat hadiah hari lahir daripada yang tersayang atau kawan-kawan. Siapa yang tidak gembira, bukan? Kalau saya audah lompat bintang kegembiraan! Haha. 

Namun ada juga hal terkejut yang kurang menyenangkan atau memalukan seseorang. Ada satu ketika, tetamu berkunjung ke rumah ibu mertua. Saya dan anak sedang mandi di tingkat atas. Selesai saya keluar dari bilik mandi, ibu mertua memberitahu ada tetamu akan tidur di bilik kakak ipar bersebelahan bilik saya. Jadi tidak mengapalah, saya bayangkan yang akan naik ke atas, dua orang budak perempuan. Relaks saja saya memilih baju di luar bilik tanpa memakai tudung (baju-baju saya semuanya saya letakkan di rak di luar bilik kerana ruang legar tingkat atas yang luas tidak digunakan sesiapa kecuali saya dan suami).
Tiba-tiba terkejut saya kerana budak perempuan ini sebenarnya naik bersama ayah mereka sambil si ayah menjinjit beg baju. Arghhh! Terus saya berlari ke dalam bilik. Yelah, usai mandi dengan rambut kusut-masai, lagi pulak tidak menutup kepala. Malunya saya! Anak kecil saya pula bertambah malu kerana tualanya saya terambil semasa hendak masuk ke bilik tadi. Dua kali terkejut! Haha. Apa pun, semuanya pengalaman. Walaupun saya agak, mungkin ibu mertua menganggap saya sudah bersedia agaknya, itulah yang disuruh tetamu naik terus ke atas.

Kemudian, dalam pada saya bersyukur dapat menyelesaikan satu tugasan diberi oleh sekolah semasa cuti persekolahan ini, tiba-tiba saya dipanggil pengetua dan diberikan satu lagi tugasan. Terkejut lagi saya kerana jangka masa pendek yang diberikan. Rasa sesak nafas pun ada juga! 'Deadline' untuk tugasan terkejut itu adalah esok! Haha, asyik terkejut sahaja saya minggu ini. 

Menjelang minggu baru bermula hari ini, agaknya apalah lagi hal 'terkejut' yang saya akan hadapi. Moga-moga saya lebih bersedia menghadapi kejutan-kejutan dalam hidup saya. Moga terkejut saya akan membawa aura positif kepada saya dan orang sekeliling saya.
Sekian catatan dari saya yang masih terkejut dan kelam-kabut menyiapkan kertas kerja diminta ketua saya!

Moga jumpa lagi. Wassalam.

No comments:

Post a Comment