Friday, January 30, 2015

Sahabat dan carta kehidupan

Teks: Rozanah Zakaria

Sahabat sejati sukar dicari. Kisah saya dengan rakan-rakan semasa alam persekolahan amat memberi kesan kepada kehidupan saya kini. Mereka kini sahabat-sahabat saya. Ada hikmah yang besar saya ditempatkan di asrama semasa sekolah menengah dulu.

Selama 5 tahun kami mengharungi suka-duka kehidupan di asrama. Masih ingat, zaman persekolahan saya dulu, kami tidak pernah kenal 'smart phone', maklumlah era 90-an. Namun, satu kegemaran ketika itu adalah berposing ambil gambar menggunakan kamera yang diisi filem. Lokasi biasa adalah di pintu dorm atau di koridor asrama.

Ketika riadhah petang, lokasi favourite andai ingin mengambil gambar adalah di tepi pokok bunga, sambil memegang bunga atau ranting. Hehe. Semuanya kenangan yang terindah. Teringat ketika itu, kami pelajar perempuan jarang aktif bermain ketika waktu riadah petang selepas solat asar. Kebiasaannya, semua akan melepak di merata-rata sekitar padang. Antara aktiviti kegemaran adalah 'cicah garam belacan'. Haha. Kecur liur mengingatkan pelam muda sebelah rumah pengetua yang kami ambil untuk dicicah bersama garam dan seketul belacan kecil.

Seingat saya pengetua sudah memberi keizinan untuk para pelajar mengambil pelam tersebut. Tetapi kadang-kadang kami dileteri juga kerana habis sekecil-kecil pelam yang belum matang pun dikebas. Hehe. Garam dan belacan pula kami minta dari kakak dewan makan yang baik hati, Kak Monet. Saya sudah lupa nama sebenar Kak Monet. Seingat saya nama itulah yang semua pelajar panggil kakak ini. Orangnya agak gempal namun sentiasa manis mukanya dengan senyuman.

Teringat pula saya kisah sahur di asrama. Jam 4 pagi, loceng akan berbunyi beberapa kali tanda kami harus ke dewan makan bersahur. Beberapa kali, ada pelajar yang berjalan terhoyong-hayang, ada yang menyarung baju kurung terbalik dalam ke luar, ada pelajar lelaki yang pakai kain pelikat senget, macam-macam hal. Haha. Kelakar.

Saya senyum sendiri tatkala teringatkan ini. Betapa meriahnya kehidupan kami di asrama ketika itu. Kehidupan yang memberi saya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup ini.

Sementelah pula, makanan di asrama ketika itu pada saya adalah 'heaven'! Yelah, antara menu adalah lauk ayam 3 kali seminggu. Makanan pula sedap-sedap kerana ketika saya di situ, 3 tahun berturut-turut dewan makan kami mendapat tender terbaik negeri Kedah. Bangga juga terasa. Masih saya ingat lagi saya ketika itu, jika di rumah pasti saya tidak merasa semewah itu. Ya, kehidupan kami ketika itu tidaklah senang seperti sekarang.

Di asrama kami makan 5 kali sehari pada hari biasa serta 6 kali pada hari minggu, Jumaat dan Sabtu. Makan pagi, brunch (hanya hujung minggu), tengahari, petang, malam dan supper. Kadang-kadang bila tiba musim durian, kami akan dapat makan pulut durian. Wah! Saya memang sangat suka durian daripada dahulu hingga kini. 😊.

Kemudian cerita hal solat. Ketika itu saya lihat semua rakan mengenakan telekung 'cotton' yang dibeli atau 'ready made', namun saya pula hanya telekung yang dijahit sendiri emak. Itu pun, kainnya licin. Ingat lagi ketika itu, saya berasa malu sendiri kerana merasakan saya tidak sama dengan orang lain. Pernah saya tanyakan emak kenapa ayah tidak belikan saja telekung untuk saya seperti kawan-kawan lain, kenapa emak jahit sendiri, kain licin pula tu.

Terngiang-ngiang saya jawapan emak ketika itu yang membuatkan saya tersentak dan sedar kedudukan diri. Dengan berhemah emak beritahu saya, telekung yang dibeli itu mahal. Jadi emak jahitkan untuk saya kerana kain licin itulah yang murah, jimat kos. Terasa panas kelopak mata saya. Terasa berdosa bertanya. Sungguh, jika saya tahu itu jawapan emak, demi Allah saya akan fikir dulu sedalam-dalamnya sebelum bersuara. Tetapi emak tidak pernah sebut bahawa ayah tidak mampu. Yang emak sebut adalah kita tidak perlu sama dengan orang lain, kita tidak perlu jadi orang lain, hanya jadi diri sendiri. Ikut cara kita, bukan cara orang. Mungkin dek terkesan kata-kata emak itu, saya belajar menghargai kekurangan yang ada.

Alhamdulillah, lama-kelamaan saya sedar, menjadi berbeza daripada kelompok ramai orang yang sama bukanlah satu dosa. Ia kerana kita semua tidak sama. Allah jadikan kehidupan kita yang pelbagai latar belakang dengan hikmah tersendiri.

Alhamdulillah, berkat nasihat dan dorongan emak dan ayah, tarbiyyah yang mantap yang saya dalami di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), rakan-rakan yang sangat positif serta sarat budaya cintakan ilmu dan berakhlak terpuji dan dorongan serta tunjuk ajar yang tidak berbelah bahagi dari para guru saya, menjadikan saya seorang yang berjaya dalam kehidupan saya yang sederhana ini. Jazakumullah khairan kathiiran semua.

Saya beruntung berada di SMKAK, beruntung dididik oleh guru-guru berdedikasi dan amanah serta beruntung dipilih Allah mengenali sahabat-sahabat yang saya harap dapat menarik tangan saya ke syurga Allah, in sha Allah.

Sesungguhnya nostalgia hidup kita adalah guru terbaik untuk mewarta carta kehidupan kita menuju alam abadi. Moga perkongsian yang tidak seberapa ini dapat dimamfaatkan bersama.

Wassalam.😊

No comments:

Post a Comment