Tuesday, April 14, 2015

Semangat anak didik pembakar semangat.

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria (foto koleksi pelajar drama)

Salam. Masih ingat catatan saya bertajuk 'Asalkan kita suka apa kita buat'? Jika belum baca, klik di sini.

Pertandingan drama ko akademik sudah berakhir. Lega satu hal. Walau anak didik tidak berjaya menggondol sebarang hadiah, saya amat bangga dengan semangat mereka. Untuk kesekian kali, saya hampir menitiskan airmata melihat kesungguhan mereka.

Di hari pertandingan, saya berasa amat tenang di tengah-tengah hiruk-pikuk orang ramai. Melihat Anis gigih menata mekap anak-anak ini, saya senyum sendiri. Saya tinggalkan mereka di bilik persalinan. Saya duduk di kerusi peserta sendirian. Lambat lagi menunggu acara bermula.

Sekembali para pelajar saya di kerusi peserta, saya nampak riak mereka yang gusar. Tika itu, tidak putus-putus kata semangat saya titipkan buat mereka. Ibarat, saya telah bekalkan meraeka dengan pendayung dan sampan, hari ini tiba masa untuk mereka sendirian, memgemudi tanpa saya turut serta di dalam sampan itu.

Saya ada segunung kepercayaan yang telah saya tanamkan dalam diri mereka. Saya percaya mereka boleh. Saya beritahu mereka yang saya percaya itu. Beberapa orang memberikan reaksi positif kepada komen saya. Selebihnya saya lihat cuba menenangkan diri. Saya faham. Saya beri ruang untuk mereka.

Pertandingan bermula. Debaran memuncak. Tiba giliran ke-4, saya duduk sambil berpeluk tubuh. Hanya ingin melihat dari jauh. Alhamdulillah, tidak sia-sia kepercayaan yang saya berikan. Mereka berjaya menguruskan semuanya sendiri. Amin. Bergenang lagi airmata saya.

Huh, cengeng sungguh rasanya saya hari Sabtu itu. Tanpa segan saya menekap airmata yang mengalir tanpa sedar. Selesai persembahan mereka, saya lega. Apa pun keputusannya nanti, saya redha. Saya sudah buat yang terbaik. Anak-anak saya juga sudah buat yang terbaik. Apatah lagi, skrip drama tahun ini, mereka kembangkan sendiri. Walau saya kemukakan idea asal, namun mereka bersama-sama dalam satu pasukan mengemukakan idea masing-masing.

Saya bangga dengan anak-anak ini. Mereka hanya sekolah 'kampung', belajar dengan guru yang 'biasa-biasa' seperti saya, namun semangat yang mereka tunjukkan amat luar biasa! Tahniah anak-anak didikku, sesungguhnya saya bangga menjadi guru kepada kamu semua. Semangat saya yang hampir hilang ketika itu, kamu tiupkan kembali ke dalam diri ini. Saya sayang kamu semua!

Wassalam.


No comments:

Post a Comment