Monday, May 25, 2015

Tema Sambutan Hari Guru

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google


Bahang sambutan hari guru masih terasa.

16 Mei tidak berlalu begitu sahaja setiap tahun tanpa meninggalkan kesan kepada saya. Sungguh, betapa saya berbangga menjadi seorang pendidik. Pernah saya terbaca satu petikan kata-kata (tidak diketahui siapa penulis asalnya) di laman muka buku saya. Bunyinya lebih kurang begini (saya ubahsuai sedikit dengan ayat saya):

"Bukan semua orang boleh menjadi guru,
andai ini takdir anda, percayalah,
ada sesuatu dalam diri anda
yang melayakkan anda memegang status mulia ini."

Membaca status itu, hati saya berbunga. Tipulah jika tiada perasaan bangga dalam diri tatkala mendapat pujian atas amanah yang berat ini.

Bercerita tentang Hari Guru, minggu lepas sekolah anak saya mengadakan sambutannya. Saya awal-awal lagi sudah memastikan dengan guru kelas anak, nama guru-guru yang mengajar kelas anak saya. Hendak buat sedikit 'goodie' untuk guru-guru cemerlang ini, yang tidak jemu mendidik anak saya.

Petang hari sebelumnya, saya terfikir hendak membeli kek. Terus saya ke pekan berdekatan rumah, beli sebiji kek. Si kecil saya yang pilih sendiri kek untuk cikgu-cikgunya. Betapa saya lihat dia gembira. Begitu juga harapan saya, guru-gurunya gembira dengan tanda penghargaan saya yang tidak seberapa, jika hendak dibandingkan kesabaran mereka mendidik anak saya.

Selesai satu bab.

Sekolah saya pula, akhir minggu ini baru akan diadakan sambutannya. Hari terakhir persekolahan sebelum bercuti panjang dua minggu. Tema diberikan tuan pengetua: 60-an. Hehe. Tersenyum. Saya terus terbayang cerita-cerita Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Mana hendak cari baju tema 60-an ye? Saya terfikir sebenarnya baju kurung 'peplum'. Baju ini kembang dari pinggang ke bawah. Hmm, menarik juga. Saya sempat menyuarakan kepada suami. Saya katakan, boleh terus buat untuk baju raya nanti. Suami mencadangkan baju kebaya. Haha, saya sudah pening.

Siang tadi, dalam perjalanan pulang dari berkursus, saya singgah menelek baju-baju tema 'polkadot'. Menarik juga. namun akhirnya tidak jadi membeli kerana kurang berkenan di hati. Jadi, misi mencari baju Cikgu Rose tinggal lagi 4 hari. Harap-harap saya dapat baju yang sesuai. :)

Tidak sabar rasanya menanti menjelangnya sambutan hari guru tahun ini. Bersemangat lain macam rasanya. Haha.

Apa pun, yang penting, tugas guru adalah sepanjang hayat. Andai suatu hari, saya tidak lagi bergelar guru secara hakiki, saya yakin, jiwa saya tetap di bidang ini. Namun, saya mungkin menyumbang dengan cara saya sendiri. In sha Allah.

Selamat Hari Guru kepada semua yang bergelar pendidik! Saya bangga menjadi guru Malaysia!

Wassalam.

No comments:

Post a Comment