Wednesday, August 26, 2015

Aduhai anak didikku

Teks: Rozanah Zakaria

Kes pelajar perempuan hilang/lari dari rumah makin menjadi-jadi. Usahkan yang di suratkhabar, kawasan berdekatan tempat saya tinggal saya.

Peperiksaan Percubaan SPM kini sudah bermula bagi hari kedua. Antara pelajar tingkatan lima, bukan seorang dua yang tidak hadir mengambil peperiksaan, ramai jugalah. Salah seorang dari mereka adalah seorang pelajar perempuan ini.

Kasihan jika ditelusuri sejarah keluarganya, berantakan, lantas tiada kasih sayang insan-insan bergelar ibu dan ayah. Bergenang air mata tatkala cerita ini sampai di telinga saya.

Saya pernah mengenali pelajar ini. Baik budi bahasa, pernah ucap 'Selamat Hari Ibu' pada saya (selalunya pelajar akan ucap untuk hari guru, bukan hari ibu) dan pernah hadiahkan sehelai tudung ala-ala Naelofar kepada saya, dek pernah melihat saya memakai tudung Naelofar ke tempat kerja. :(

Saban hari, khabarnya semakin kerap ponteng sekolah. Akhirnya, berita terkini, langsung tidak hadir peperiksaan percubaan yang sudah masuk hari ke-3 di Pulau Pinang ini. Pelajar ini juga tidak dapat dikesan rakan-rakannya.

Luluh juga hati ini kerana suatu masa pernah mengenali insan yang luhur pekertinya. Terasa kerdil diri ini lantaran tiada daya untuk berbuat apa-apa bagi membantunya. Ya Allah, mungkin ini ujian untuk saya yang sekian lama bergelar pendidik. Saat ini airmata bergenang lagi.

"Nana (bukan nama sebenar), kalau Nana baca catatan Mama ini, Nana baliklah. Semua orang rindukan Nana. Nana ada peperiksaan penting yang perlu dilangsaikan, masa depanmu di sini. Kami di sini semua sayangkan Nana."

Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment