Friday, January 30, 2015

Sahabat dan carta kehidupan

Teks: Rozanah Zakaria

Sahabat sejati sukar dicari. Kisah saya dengan rakan-rakan semasa alam persekolahan amat memberi kesan kepada kehidupan saya kini. Mereka kini sahabat-sahabat saya. Ada hikmah yang besar saya ditempatkan di asrama semasa sekolah menengah dulu.

Selama 5 tahun kami mengharungi suka-duka kehidupan di asrama. Masih ingat, zaman persekolahan saya dulu, kami tidak pernah kenal 'smart phone', maklumlah era 90-an. Namun, satu kegemaran ketika itu adalah berposing ambil gambar menggunakan kamera yang diisi filem. Lokasi biasa adalah di pintu dorm atau di koridor asrama.

Ketika riadhah petang, lokasi favourite andai ingin mengambil gambar adalah di tepi pokok bunga, sambil memegang bunga atau ranting. Hehe. Semuanya kenangan yang terindah. Teringat ketika itu, kami pelajar perempuan jarang aktif bermain ketika waktu riadah petang selepas solat asar. Kebiasaannya, semua akan melepak di merata-rata sekitar padang. Antara aktiviti kegemaran adalah 'cicah garam belacan'. Haha. Kecur liur mengingatkan pelam muda sebelah rumah pengetua yang kami ambil untuk dicicah bersama garam dan seketul belacan kecil.

Seingat saya pengetua sudah memberi keizinan untuk para pelajar mengambil pelam tersebut. Tetapi kadang-kadang kami dileteri juga kerana habis sekecil-kecil pelam yang belum matang pun dikebas. Hehe. Garam dan belacan pula kami minta dari kakak dewan makan yang baik hati, Kak Monet. Saya sudah lupa nama sebenar Kak Monet. Seingat saya nama itulah yang semua pelajar panggil kakak ini. Orangnya agak gempal namun sentiasa manis mukanya dengan senyuman.

Teringat pula saya kisah sahur di asrama. Jam 4 pagi, loceng akan berbunyi beberapa kali tanda kami harus ke dewan makan bersahur. Beberapa kali, ada pelajar yang berjalan terhoyong-hayang, ada yang menyarung baju kurung terbalik dalam ke luar, ada pelajar lelaki yang pakai kain pelikat senget, macam-macam hal. Haha. Kelakar.

Saya senyum sendiri tatkala teringatkan ini. Betapa meriahnya kehidupan kami di asrama ketika itu. Kehidupan yang memberi saya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup ini.

Sementelah pula, makanan di asrama ketika itu pada saya adalah 'heaven'! Yelah, antara menu adalah lauk ayam 3 kali seminggu. Makanan pula sedap-sedap kerana ketika saya di situ, 3 tahun berturut-turut dewan makan kami mendapat tender terbaik negeri Kedah. Bangga juga terasa. Masih saya ingat lagi saya ketika itu, jika di rumah pasti saya tidak merasa semewah itu. Ya, kehidupan kami ketika itu tidaklah senang seperti sekarang.

Di asrama kami makan 5 kali sehari pada hari biasa serta 6 kali pada hari minggu, Jumaat dan Sabtu. Makan pagi, brunch (hanya hujung minggu), tengahari, petang, malam dan supper. Kadang-kadang bila tiba musim durian, kami akan dapat makan pulut durian. Wah! Saya memang sangat suka durian daripada dahulu hingga kini. 😊.

Kemudian cerita hal solat. Ketika itu saya lihat semua rakan mengenakan telekung 'cotton' yang dibeli atau 'ready made', namun saya pula hanya telekung yang dijahit sendiri emak. Itu pun, kainnya licin. Ingat lagi ketika itu, saya berasa malu sendiri kerana merasakan saya tidak sama dengan orang lain. Pernah saya tanyakan emak kenapa ayah tidak belikan saja telekung untuk saya seperti kawan-kawan lain, kenapa emak jahit sendiri, kain licin pula tu.

Terngiang-ngiang saya jawapan emak ketika itu yang membuatkan saya tersentak dan sedar kedudukan diri. Dengan berhemah emak beritahu saya, telekung yang dibeli itu mahal. Jadi emak jahitkan untuk saya kerana kain licin itulah yang murah, jimat kos. Terasa panas kelopak mata saya. Terasa berdosa bertanya. Sungguh, jika saya tahu itu jawapan emak, demi Allah saya akan fikir dulu sedalam-dalamnya sebelum bersuara. Tetapi emak tidak pernah sebut bahawa ayah tidak mampu. Yang emak sebut adalah kita tidak perlu sama dengan orang lain, kita tidak perlu jadi orang lain, hanya jadi diri sendiri. Ikut cara kita, bukan cara orang. Mungkin dek terkesan kata-kata emak itu, saya belajar menghargai kekurangan yang ada.

Alhamdulillah, lama-kelamaan saya sedar, menjadi berbeza daripada kelompok ramai orang yang sama bukanlah satu dosa. Ia kerana kita semua tidak sama. Allah jadikan kehidupan kita yang pelbagai latar belakang dengan hikmah tersendiri.

Alhamdulillah, berkat nasihat dan dorongan emak dan ayah, tarbiyyah yang mantap yang saya dalami di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), rakan-rakan yang sangat positif serta sarat budaya cintakan ilmu dan berakhlak terpuji dan dorongan serta tunjuk ajar yang tidak berbelah bahagi dari para guru saya, menjadikan saya seorang yang berjaya dalam kehidupan saya yang sederhana ini. Jazakumullah khairan kathiiran semua.

Saya beruntung berada di SMKAK, beruntung dididik oleh guru-guru berdedikasi dan amanah serta beruntung dipilih Allah mengenali sahabat-sahabat yang saya harap dapat menarik tangan saya ke syurga Allah, in sha Allah.

Sesungguhnya nostalgia hidup kita adalah guru terbaik untuk mewarta carta kehidupan kita menuju alam abadi. Moga perkongsian yang tidak seberapa ini dapat dimamfaatkan bersama.

Wassalam.😊

Wednesday, January 28, 2015

Meriahkan kehidupan, ceriakan harimu

Teks: Rozanah Zakaria

Kehidupan yang indah pun kadangkala boleh jadi membosankan jika tidak kena gaya kita mengemudi. Semestinya saya tidak terkecuali. Akhir-akhir ini, tidak pasti samaada saya memang tidak bijak menguruskan masa atau masa sememangnya mencanak meninggalkan saya!

Sentiasa saya rasakan saya sudah buat yang terbaik tetapi masih ada kerja yang tergendala! Arghhh! Pening juga memikirkan. Bila saya semak kembali kerja yang patut saya langsaikan, memang ada beberapa tugasan yang tergendala belum saya bereskan ketika itu. Bukan kerana saya tidak mampu siapkan tugasan yang diberi, tetapi daya penggerak dalam diri terasa amat kurang. Ditambah pula saya ada satu sikap (saya sedang berusaha mengikis sikap ini, doakan saya ya!), jika saya terlalu dipaksa melakukan sesuatu tanpa pertimbangan wajar, saya akan sengaja lambat-lambatkan tugasan tersebut! Sikap negatif yang patut saya kikis.😊

Namun di sebalik itu, saya adalah seorang yang sangat mementingkan komunikasi berkesan antara rakan sekerja. Jadi saya amat sensitif jika diarahkan menyelesaikan apa-apa tugasan dengan kasar atau memaksa. Sebaliknya ada satu lagi tugasan lain yang memerlukan saya bersengkang mata di tengah malam serta hujung minggu untuk saya siapkan, dengan senang hati saya memperuntukkan beberapa jam masa hujung minggu saya untuk menyiapkan tugasan itu dengan segera. Kenapa? Kerana tugasan ini diserahkan kepada saya dengan beberapa 'gentle reminders', jadi saya ada 'penggerak' untuk menyegerakan tugasan tanpa saya berasa sakit hati. Hehe.

Maaf ya, kali ini kalian yang menyoroti catatan saya terpaksa 'dengar' saya membebel. Maaf sekali ya, tetapi saya rasa lega dengan menulis di sini.

Kesimpulannya, ketika coretan ini dinukilkan, sebenarnya saya sudah selesai tugasan-tugasan penting yang mendesak tersebut. Walau sedikit tersentak dihati dek pengorbanan yang dipandang remeh, saya kuatkan hati kerana saya tahu, Allah mengetahui segala apa yang saya lakukan serta Dia menghargai saya. Amin.

Jadi, dek kerana geramnya saya pada orang yang seorang itu, saya tukarkan geram itu kepada penggerak serta motivasi kepada diri sendiri untuk bekerja dua kali lebih pantas, menuntut ilmu dalam beberapa perisian untuk membantu saya lebih efisien serta menjadi motivasi untuk saya capai impian saya yang satu itu di akhir tahun ini. Apa ya? Biarlah ia rahsia sehingga saya capai impian tersebut, kemudian akan saya kongsikan bersama anda.

Akhir kata, jom ceriakan hari kita dengan memdekatkan diri kepadaNya Yang Esa. Wassalam.

Tuesday, January 13, 2015

Aktiviti menarik menulis ayat Bahasa Inggeris

Teks: Rozanah Zakaria
Idea asal: Rozanah Zakaria

Memulakan penulisan karangan Bahasa Inggeris tingkatan 4 bukanlah semudah yang disangka. Namun, ia tidaklah terlalu susah atau membosankan jika anda ingin berkreativiti. Cuba bayangkan adik-adik perlu menulis karangan Bahasa Inggeris, 350 perkataan, pada jam 1.20 - 2.40 petang. Apa yang adik-adik rasakan? Mengantuk? Bosan? Terbayang adik sedang tidur di rumah di atas tilam yang empuk? Oh! Bayangan itu semua akan melemahkan semangat adik bukan. Jadi, apatah lagi guru yang mengajar? Tidak kena gaya, cikgu seoranglah nampaknya akan bercakap di hadapan kelas!

Namun, ia boleh jadi situasi yang menyeronokkan jika diselitkan aktiviti bersesuaian. Apa yang saya tulis di sini telah saya lakukan dengan para pelajar saya di kelas tingkatan 4. Tajuknya 'The Greater Sentence Variety'. Ini adalah topik permulaan atau 'introduction to writing'. 'Level' adalah permulaan atau 'elementary'. Mulanya, guru menyuruh pelajar menyalin nota berkaitan 'writing composition using coordinators' mengggunakan kata hubung 'and', 'but', 'or', 'so' dan 'for'. Beberapa contoh penggunaan kata hubung tersebut dibincangkan dengan pelajar. Saya telah memberi tiga contoh seperti di bawah kepada pelajar (sumber rujukan: ms 16, Koh Suat Chin, Nexus Tuntas SPM 4/5 English 1119):

Joining sentences using coordinators
We link ideas of equal importance by using coordinators such as and, but, or, so and for.

Examples: 
1) We sat on the beach and enjoyed the cool sea breeze.
2) He is not very handsome but he has a warm smile.
3) You can swim, make sandcastles or sunbathe at the beach.

Daripada contoh di atas, saya minta para pelajar berbincang di dalam kumpulan 3 atau 4 orang. Mereka harus menulis beberapa ayat sendiri menggunakan kata hubung seperti ditunjukkan dalam masa 10 minit. Ketua kumpulan akan menulis ayat-ayat tersebut di dalam buku tulis. Sambil pelajar menulis, saya memberikan token untuk 10 pelajar terawal yang habis membentuk ayat mereka sendiri.

Kemudian pelajar diberikan kertas nota kecil berwarna untuk mereka tulis semula ayat yang dibina. Saya kutip semua kertas itu setelah pelajar menuliskan juga nama kumpulan mereka di atasnya dan baca di hadapan kelas. Sambil saya membacakan ayat-ayat tersebut, saya berikan markah untuk setiap kumpulam yang dapat mngenalpasti ayat yang betul tatabahasa atau grammar serta ayat yang salah. Untuk setiap pebgesahan atau verification, kumpulan tersebut mendapat kredit 1 markah. Kumpulan yang membina ayat yang betul sepenuhnya juga mendapat kredit tersebut. Saya bacakan kesemua ayat tersebut.

Di akhir kelas, kumpulan pelajar yang mendapat markah tertinggi saya umumkan sebagai pemenang dana saya berjanji untuk memberikan mereka hadiah pada keesokan harinya. Hadiah yang saya beri hanya berupa buku nota kecil bersaiz poket. :). Namun, kegembiraan dapat saya lihat di wajah mereka. Sementara yang lain berazam untuk mendapat hadiah pada kelas seterusnya. Saya kira saya sudah dapat 'memenangi' hati mereka untuk belajar pada hari pertama! Alhamdulillah.

Sekian, hingga berjumpa lagi di catatan seterusnya.

Thursday, January 8, 2015

Cabaran belajar bahasa Inggeris di alaf baru

Teks: Rozanah Zakaria

Salam pembaca yang dirahmati Allah.

Tinggal beberapa hari saja lagi, persekolahan akan bermula bagi semua. Saya sangat gembira kerana cuti yang lama membuat saya rindukan suasana sekolah. Bagi adik-adik pelajar pula, terutama yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini, tahun 2015, sudah bersedia fizikal dan mental?

Bagi persediaan fizikal,pastikan adik sentiasa sihat. Jadi bersenam selalu. Tidak perlu bersusah-payah ke gimnasium. Cukup jika melakukan hobi bermain bola, badminton atau apa-apa sukan diminati. Asalkan mengeluarkan peluh, sudah memadai. Selain itu, pemakanan juga perlu dijaga. Makan mengikut panduan piramid makanan. Amalan terbaik adalah mengamalkan pemakanan sunnah. Sebagai contoh, amalkan makam kismis atau kurma setiap hari. Untuk rujukan pemakanan sunnah boleh rujuk di blog ABDR.

Untuk kesihatan mental, ingat solat lima waktu serta amalan-amalan sunat seperti solat dhuha dan solat hajat yang sebolehnya adik perlu lakukan setiap hari. In sha Allah, janji Allah itu pasti.

Berazamlah pada tahun baru ini untuk meningkatkan bahan bacaan adik-adik dalam bahasa Inggeris. Cuba baca sebanyak yang mungkin. In sha Allah, jika tidak banyak pun, sedikit akan lekat di kepala.

Moga tahun baru ini membuahkan hasil yang tidak terhingga untuk kita. Amiin.

Friday, January 2, 2015

Azam tahun baru 2015

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Azam tahun baru atau 'New year resolution'. Saban tahun, saya akan senaraikan berjela-jela azam saya di awal tahun. Namun bagi 2015, saya tiada yang spesifik melainkan ingin membaca 100 buku ilmiah menjelang Disember 2015. Bukanlah saya tidak bersemangat. Sebaliknya, tahun ini saya bersemangat sungguh! Secara keseluruhan, saya berazam ingin membuat semua perkara dalam hidup saya lebih baik pada tahun ini. Kalau diperincikan panjang juga senarai rupanya. Haha. 😊

Dari segi peribadi, saya ingin bersedia awal untuk ke tempat kerja setiap hari. Jadi saya akan 'iron' baju kerja pada malam sebelumnya. Kemudian, saya akan bereskan kerja rumah mengikut jadual yang saya buat sendiri. Saya juga berazam untuk menyambung kelas Mandarin bagi bacaan. Ini kerana saya ingin masukkan anak saya di tahun satu tahun ini ke kelas Mandarin. Jadi, saya kena lebih bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada Khyra di rumah.

Kemudian, ada lagi yang ingin saya capai tahun ini. Saya ingin meningkatkatkan penghayatan agama dalam diri. Salah satunya saya ingin beristiqomah menunaikan solat Dhuha, insha Allah. Selain itu, saya juga ingin lebih sihat dan 'fit', jadi saya akan sertai kelas aerobik sebelum berakhir bulan Januari ini.

Wah! Banyak rupanya yang ingin dicapai kan! Tak apa, sekurang-kurangnya saya jadi lebih bersemangat! 😊. Bagi setiap azam ini, saya perincikan dengan lebih lagi dalam satu buku "Impian Saya". Ini saya ambil dari buku Mudahnya Menjemput Rezeki. Anda sudah baca atau belum buku ini? Jika belum, cepatlah pergi ke kedai buku dan beli dua. Satu untuk diri sendiri, satu untuk dihadiahkan kepada yang tersayang. Boleh buat begitu? Apa salahnya, kan?

Okey, jumpa lagi di lain catatan. Wassalam. 😊

Thursday, January 1, 2015

Tahun Baru 2015 yang Gemilang.

Teks: Rozanah Zakaria

Allah. Syukur saya dapat tempuhi tahun baru 2015 ini. Jika dikira tahun, umur saya sudah tambah 1 angka. Jika dikira bulan, belum lagi lah nampaknya. Hehe. Teringin berasa muda. 😊. Apa pun, semangat saya berkobar-kobar tahun ini. Entahlah, benar kiranya kata-kata yang saya pegang, "Kita adalah apa yang kita baca!". Menjelang hujung tahun 2014, dengan tugasan yang berlambak serta mendesak, saya akui saya agak tertekan. Jadi salah satu cara saya 'melarikan diri' dari tekanan adalah dengan membaca buku-buku motivasi, novel serta majalah yang boleh menambah pengetahuan saya.

Antara buku-buku yang saya telaah sepanjang Disember lalu adalah 'Mudahnya Menjemput Rezeki' oleh Fathuri Salehuddin, 'The Happiness Project' oleh Gretchen Rubin, 'A Doctor in the House' oleh Tun Dr Mahathir dan 'It's Not About the Coffee' (cerita Starbucks) oleh Howard Behar. Sungguh, cerita-cerita inspirasi dari buku-buku ini benar-benar mendorong saya.

Apa lagi? Jom kita sama-sama berazam meningkatkan bacaan buku-buku ilmiah pada tahun 2015. Saya berazam hendak khatam 100 buku ilmiah tahun ini. Moga Allah memudahkan saya mencapai azam yang satu dari beribu ini. Amin.

Wassalam. Selamat tahun baru 2015.