Showing posts with label Tip Memilih Homestay. Show all posts
Showing posts with label Tip Memilih Homestay. Show all posts

Saturday, April 30, 2016

Hendak bercuti? Bagaimana merancang percutian yang bermakna?

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria
Pengalaman pertama Cik K menaiki ETS


Salam. Cuti sekolah akan menjelma kurang dari sebulan lagi. Ramai yang sudah buat tempahan umtuk bercuti. Sebagai pemilik homestay, saya ada beberapa saranan, panduan dan etika untuk orang-orang yang ingin bercuti atau 'holidaymakers':

1) Rancang awal percutian anda.

Lebih lama lebih baik. Samaada percutian anda melibatkan penginapan homestay atau hotel. Ada tetamu yang menempah homestay saya setahun lebih awal berserta deposit. Jadi kerja pemilik homestay jadi mudah, begitu juga dengan pelanggan.

2) Tentukan bilangan ahli rombongan untuk bercuti, catat.

Kira bilangan semua yang terlibat termasuklah kanak-kanak dan bayi. Ini kerana mereka juga ada hak untuk ruang sendiri (dalam kenderaan dan penginapan).

3) Buat pelan (itinerary) untuk panduan semasa percutian anda.

Itinerary yang lengkap bakal memudahkan pergerakan dan menjadikan percutian anda sesuatu yang tenang dan menggembirakan.

4) Minimumkan jumlah beg.

Jangan bawa terlalu banyak barang. Bawa hanya yang betul-betul perlu sahaja. Ini kerana ada risiko tertinggal beg jika anda bawa terlalu banyak barang.

Jadi, apa lagi? Rancang percutian anda sekarang! Kesibukan kerja tidak akan habis, 'cipta' masa percutian yang bermakna bagi anda sekeluarga sekarang! :)

Selamat bercuti!

Monday, September 28, 2015

Pengurusan Homestay: Kekemasan

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Zulaikha & Rossa Fanpage (kredit Saudara Khairul Muqiit).

Aspek kekemasan adalah antara faktor terpenting dalam pengurusan homestay. Hatta susun letak pasu di meja kopi sekalipun memainkan peranan penting. Ini kerana ia bakal mencorak persepsi tetamu yang berkunjung ke homestay anda.

Antara perkara 'kecil' yang sering dianggap remeh tetapi mampu memberi impak besar jika diteliti adalah:

1) Meja kopi yang dilap berkilat
2) Jenis pasu dan bunga di atas meja makan
3) 'Rupa' pengelap kaki di hadapan pintu masuk rumah
4) Barangan hiasan yang teratur di rak
5) Susunan bantal serta cara lipatan selimut di katil
6) Susun atur alatan elektrik/pinggan mangkuk di dapur
7) Lantai rumah yang dimop
8) Bilik air yang berbau wangi dan pewangi dalam rumah
9) 'Complimentary drink/cookies'
10) Bantal/toto lebih.

Bayangkan jika anda masuk ke homestay yang disewa, kemudian semerbak hidung anda mencium bau haruman wangi. Kemudian, terlihat pula bantal di sofa yang disusun rapi. Ditambah lagi dengan pasu bunga yang ringkas tetapi comel di meja kopi. Apa perasaan anda? Agaknya tetamu tersebut akan kembali atau tidak ke homestay anda? Fikirkan.

Mahu tahu lebih lanjut tentang pengurusan homestay? Saya sedia membantu anda.

Boleh email saya di rozanahz@yahoo.com.

Jumpa lagi!

Thursday, September 24, 2015

Pengurusan Homestay

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salah satu aspek pengurusan homestay adalah memastikan tempahan tidak bertindih. Terutamanya bagi pengurusan homestay yang mempunyai lebih daripada 1 premis.

Salah satu cara paling mudah adalah menggunakan aplikasi kalendar (bagi telefon pintar). Sebaiknya ada kalendar khas untuk tempahan homestay.

Satu contoh adalah kalendar Jorte yang saya guna untuk tempahan homestay-homestay saya. Aplikasi ini ringkas dan amat mudah digunakan. Cuma muat turun dari Play Store (bagi yang menggunakan android). Ia juga percuma.

Cubalah. 😊

Monday, May 25, 2015

Kemudahan tambahan di homestay

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria


Salam. Apa yang perlu ada di homestay? Hendak dihias seperti bilik hotel? Atau sekadar keprluan asas yang betul-betul asas? Atau bagaimana? Berikut panduan ringkas bagaimana menghias / menyediakan kemudahan di homestay bagi anda yang baru meneroka bidang ini.

Antara kemudahan asas yang perlu ada (yang saya sediakan di homestay saya):

    a} Katil dan meja solek / cermin di setiap bilik. Katil 1 'queen' atau  2 'single' setiap bilik. Penghawa 
        dingin di bilik utama (pilihan)

    b} Kipas siling dan lampu setiap bilik dan ruang, termasuk lampu tangga (jika homestay anda dua tingkat 
         seperti rumah saya).

    c} Jika ada almari, pastikan penyangkut baju disediakan. Sejadah juga sekurang-kurangnya 2 atau di setiap bilik (pilihan).

    d} Dua biji bantal dan 1/2 selimut.

    e} Toto (pilihan)

    f} Bilik air: penyangkut tuala dan sabun mandi cecair.

    g} Ruang tamu: Penghawa dingin (pilihan), set sofa, meja kopi, majalah / bahan bacaan.

    h} Ruang menonton: Televisyen, pemain vcd/dvd, set sofa, kipas angin

    i} Ruang makan: Kipas tambahan (jika perlu)

    j} Dapur: 'Rice cooker', cerek air elektrik, pinggan, cawan, cecair pencuci pinggan dan span, dapur dan 
        gas (jika anda membenarkan memasak), makanan ringan / biskut (pilihan), gula, teh / kopi, mesin     
        basuh  (pilihan), kain pengelap meja, kain pengelap tangan, plastik sampah, sudu, garpu dan lain-lain 
        yang difikirkan perlu.

    k}Kemudahan / barangan lain: Bakul sampah (4 unit), lapik kaki (4), pencuci tandas (cecair pencuci dan 
        berus di setiap tandas), rak buku di ruang tamu (ikut pilihan masing-masing), tanda arah kiblat di siling.

Selamat datang ke dunia homestay!

Wassalam.

Sunday, February 22, 2015

Cabaran bisnes homestay

Teks: Tuan Tanah Zulaikha Homestay

Setiap apa yang kita lakukan dalam hidup, mesti ada cabarannya. Tidak terkecuali dalam bisnes homestay saya yang baru setahun jagung ini.

Dalam beberapa keadaan, salah satu punca saya dan suami bertingkah adalah kerana homestay. Haha. Agak kelakar jika diingatkan. Tetapi selalunya tidak lama kerana 'we always need each other'. Haha.😊. Untuk pengetahuan semua, suami saya dalam kategori yang boleh dikatajan 'orang lain susah nak cari pasal' dengannya. Penyabar. Mungkin itu kata-kata yang tepat. Bukan menaikkan nama suami sendiri, tetapi acapkali kesabaran saya diuji dengan pelbagai karenah penghuni homestay. Namun suami saya masih 'cool', bak kata orang putih. 😊.

Sayang sekali, sepatutnya itu menjadi kekuatan kami dalam menguruskan bisnes kecil ini. Saya kadang-kadang tersilap tafsir kesabaran ditunjukkan suami hanya disebabkan tekanan kerja yang mendesak benak dan minda saya. Hmm, salah sendiri!

Antara cabaran lain adalah apabila ada pelanggan yang mendesak mahukan diskaun yang agak keterlaluan. Sebagai tuan tanah, seharusnya saya melayan karenah mereka dengan sabar. Namun, kadang-kadang apabila rasa tidak mampu, saya minta suami uruskan. Selesai satu bab.

Kemudian, ada juga yang merancang untuk percutian di saat akhir, atau percutian yang tidak dirancang langsung. Memang, saya faham keadaan itu disebabkan kekangan masa kebanyakan dari kita semua di zaman teknologi ini. Jadi, andai ada saja kelapangan, kemas bagasi, kemudian terus bawa keluarga bercuti. Hmm, idea yang selalunya bagus untuk menghabiskan masa yang berkualiti bersama keluarga.

Saya faham itu juga kerana suami saya di sektor peruncitan yang mana tidak memungkinkan kami bercuti untuk jangka masa panjang. Juga, tidak boleh merancang terlalu lama, takut tidak jadi, habis kecewa menonggeng semua orang.
Okey, sekali lagi, saya sangat faham situasi itu. Tetapi cabarannya kepada pengusaha homestay seperti saya adalah, apabila ada segelintir 'impulse holidaymakers' ini yang ingin 'double booking'. Maksudnya, contoh ada seseorang telah tempah homestay saya untuk satu tarikh (tempahan) seawal sebulan sebelum tarikh penginapan, beserta dengan 'bank in' sejumlah deposit yang telah dipersetujui. Kemudian, di saat akhir, ada sekumpulan 'holidaymakers' yang ingin menempah homestay untuk jangka masa yang lebih panjang dan bertindih dengan tempahan awal saya.

Apa yang anda fikir? Ya, sudah semestinya 'first come first serve'. Dengan cara ini, pelanggan akan faham etika bisnes kita. Namun jangan salah faham, saya tidak marah, (walaupun sedikit geram kadang-kadang. Haha. Yelah, saya juga manusia biasa bukan?) kerana  bukankah 'pelanggan selalu betul' dalam perniagaan? 😊

Sabar, sabar, sabar. Kata-kata mudah tetapi keramat untuk kita sentiasa berpegang dan amalkannya. Hmm, peringatan untuk diri sendiri sebenarnya.

Apalagi cabaran? Mengemas. Ya, kerja mengemas nampak mudah bagi orang yang melihat. Mengemas rumah sendiri dan mengemas homestay untuk tetamu menginap adalah dua perkara yang berbeza. Jika rumah sendiri anda ada jadual sendiri atau sesuka hati (macam saya selalu buat, haha), tetapi berbeza dengan homestay.

Kerja mengemas homestay ada jangka masa yang perlu dipatuhi. Terutama untuk tempahan 'back to back' atau berturutan. Kebiasaan masa check out homestay adalah jam 12 dan masa check in adalah jam 2. Jadi masa mengemas adalah dua jam. Hmm, untuk rumah teres seperti saya, dua tingkat dengan 4 bilik serta 3 bilik air, masa 2 jam memang mencukupi. Namun, tiada masa untuk dibazirkan, bergerak pantas, dan taraa! Homestay dah siap!

Fuh! Penat juga menguruskan homestay. Namun, tiada apa-apa yang datang dalam hidup ini tanpa cabaran. Doakan saya terus gigih dalam menjalankan bisnes yang baru bertatih ini.

Jom singgah Zulaikha Homestay 012 4208212 (Ana) dan Rossa Homestay 012 481 8212 (bermula Jun 2015) jika anda ke Pulau Mutiara.

Wassalam.

Sunday, November 2, 2014

Bagaimana Mengurus Bisnes Homestay

 It’s the Weekend

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Salam.

Ahad datang lagi. Saya sangat suka Ahad kerana saya tingggal di Penang. jadi Ahad adalah secara rasmi hari cuti saya.  Sebagaimana saya sangat suka hari Jumaat semasa saya bersekolah menengah di Kedah kerana Jumaat bermaksud cuti! :)

Mempunyai bisnes 'kecil-kecilan' seperti homestay, tentu ada yaang berpendapat, 'Alah, mudah je uruskan homestay, bukan kena cuci rumah setiap hari!'. Adakah anda fikir begitu? Jadi, jika ada niat ke arah berniaga dalam bidang ini, jom kita lihat apakah realiti di sebalik bisnes yang 'mudah' ini. :)

Panduan Pengurusan Bisnes Homestay:

1) Kemudahan

Menyediakan kemudahan di homestay memerlukan persediaan kewangan yang cukup. Jadi ini bukan bisnes main 'terjah' saja ye! Kena ada perancangan. Saya dan suami mula merancang untuk memulakan bisnes homestay kami ini sejak saya mula membayar deposit untuk membeli rumah ini pada awal tahun 2012. Jadi, kami merancang kewangan dengan amat berhati-hati kerana saya percaya, asas memulakan perniagaan adalah dengan modal sendiri tanpa meminjam.

2) Mengemas

Saya sepakat dengan suami, saya yang akan mengemas homestay setiap kali sebelum dan selepas tetamu menginap. Ini kerana saya bercuti Sabtu dan Ahad, jadi saya ada lebih 'banyak' masa berbanding waktu cuti suami yang tidak menentu. Suami akan membantu jika berkelapangan.

3) Ketelitian

Mengemas homestay adalah seperti mengemas rumah anda sendiri! Walau hakikatnya memamg homestay itu adalah rumah saya sendiri, tetapi saya tidak tinggal di situ. Sapu serta mop sehari sebelum tetamu masuk untuk mengelakkan tetamu masuk ke rumah yang berhabuk. Pastikan bilik air dicuci sebersih-bersihnya. Berus sinki, cermin muka, dinding dan lantai. Isi semula/ganti cecair mandian serta syampu jika telah habis. Ganti kain pengelap kaki.

Bagi bilik tidur: Pastikan cadar dan sarung bantal ditukar setiap kali tetamu keluar. Anda tidak digalakkan menyediakan tuala untuk tetamu atas alaasan kebersihan. Namun jika anda ingin berbuat demikian, pastikan tuala dicuci menggunakan air panas setiap kali selepas tetamu menggunakannya. Ingat, anda tahu kemampuan dan kesanggupan anda. Ukur baju di badan sendiri.

4) Kekemasan dan Suasana

Apa perasaan anda jika masuk ke homestay yang berbau harum? Tentu gembira bukan? Jadi, buat sedikit pelaburan, letakkan pewangi yang boleh diset automatik untuk mengharumkan ruang tamu anda. Letakkan bunga di meja kopi serta meja makan. Letakkan table runner di meja makan untuk menyerikannya. Namun saya tidak berbuat demikian kerana saya lebih suka suasana simple. Terpulang kepada citarasa masing-masing.

5) Kemudahan asas serta tambahan

Saya meletakkan sabuah rak buku di ruang tamu kerana saya sangat suka membaca. Namun, terpulang kepada anda menentukan apakah 'faktor penambah' yang anda ingin sediakan di homestay anda. Saya juga sediakan makanan ringan seperti Maggi dan biskut. Saya juga sediakan bahan makanan serta minuman asas seperti kordial, gula, teh, beras, serta peralatan memasak termasuk tong gas.

Kemudahan asas lain adalah peti sejuk, masin basuh, pinggan mangkuk, tisu, pecuci pinggan serta pencuci tangan.

Sekian, moga panduan ini berguna untuk semua!

Wednesday, October 29, 2014

Pilih Homestay Berdekatan Tempat Dilawati





Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria, Koleksi Foto Zulaikha Homestay

 Salam semua.

Catatan saya hari ini berkisar homestay. Anda masih ingat catatan saya berkenaan lawatan ke Kelantan baru-baru ini? Di sini ingin saya bercerita bagaimana teknik bijak pengiklanan pemilik homestay White Cottage yang kami inap di Kota Bharu.

Ketika sampai di hadapan cafe Blaack Pepper di pekan Kota Bharu. Suami memberhentikan kereta di bahu jalan. Seketika kemudian dengar dia bercakap dengan pemilik homestay yang akan kami singgah untuk satu malam. 'Kak Maizatul akan mai sini jemput kita. Jadi kita tunggu sat la no', kata suami pada kami semua. Masing-masing mengangguk sambil mata meliar melihat pemandangan kawasan sekeliling. Kami kini berada di tepi cafe berkonsep hitam putih. Abang ipar saya asyik memuji konsep yang tampak klasik katanya. Dalam diam saya bersetuju. Nampak simple tapi elegant!

Tidak lama kemudian, sebuah Wira Aeroback merah, plat nombor Kelantan, berhenti di hadapan Innova kami. Suami mendapat panggilan telefon. Kak Maizatul sudah sampai untuk membawa kami ke White Cottage beliau. Nama yang sangat unik dan menarik pada saya.

Satu lagi, servis yang pantas dan mesra. Itu yang paling saya suka! :).

Sampai di jalan bertentangan SMK Kota, kami membelok ke kiri mengikuti kereta Wira ke dalam kawasan yang nampak seperti perkampungan. Saya mula terbayang suasana damai semalaman di sini nanti. Dalam hati saya tersenyum.

Lebih kurang 5 minit melalui jalan agak sempit yang hanya muat satu kereta, kami tiba di hadapan sebuah rumah dengan binaan yang amat cantik pada pandangan mata saya. Tanpa menunggu lama, sambil suami bersembang dengan tuan empunya homestay, saya terus meletakkan beg di bilik berhadapan ruang tamu. Bilik comel yang tidak terlalu besar tetapi selesa serta lengkap dengan semua kemudahan. Terdapat cermin besar di dinding, rak penyangkut tuala serta tuala dan sejadah.

Saya menjenguk ke bilik air. Terdapat sabun mandi cecair disediakan. Saya tersenyum mengingatkan kemudahan saya yang saya sediakan di homestay saya, Zulaikha Homestay di Sungai Dua.

Sebenarnya idea meletakkan sabun mandi di homestay saya dapat semasa bercuti di Kelantan beberapa tahun lepas dimana ketika itu saya masih belum mempunyai homestay seperti sekarang.

Jadi bagaimana suami mendapat tahu mengenai homestay ini? Tentunya melalui carian di laman sesawang mudah.my. Sungguh mudah! Tuan empunya homestay juga bijak dengan memberitahu bahawa homestay beliau berdekatan dengan Wakaf Che Yeh (salah satu tempat wajib-kunjung jika anda ke Kelantan!) serta pekan Kota Bharu di mana terletaknya Pasar Besar Siti Khadijah yang terkenal seantero Malaya itu!

Nampak seperti remeh untuk mengiklankan bahawa homestay anda terletak berdekatan tempat-tempat menarik nukan? tetapi memudahkan kerana tempat penginapan yang berdekatan  tempat-tempat menarik bakal menjimatkan masa percutian anda, bukan? Jadi, anda berpeluang ke lebih banyak tempat untuk dilawati dalam masa yang singkat.

Sehingga ini, ikuti sambungan di catatan saya seterusnya! Tunggu!

Wassalam.





Saturday, October 25, 2014

Kembara ke Negeri Serambi Mekah - Bahagian 1

Bright Day Light

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Assalamualaikum semua.

Sejak beberapa hari saya agak 'sibuk'. Ya, sibuk dengan macam-macam hal kerja dan hal di rumah. Bagaikan tidak cukup dengan itu, komputer riba saya pula buat hal. Sudahlah 'usang', buat hal pula, haha. Geram kalau difikirkan dengan entri yang tergendala disebabkan 'kesibukan dan kekacauan' ini. Hehe. Telefom bimbit saya yang kecil comel juga tidak manjadikan hal ini lebih mudah. Skrin kecil tidak memenuhi kriteria untuk saya mengemaskini blog saban hari. Bukan apa, terlalu kecil tulisannya, bak kata orang Kedah, 'merenit', maksudnya terlalu kecil sampai tidak boleh dibaca tulisannya. :)

Jadi hari ini saya hendak melepaskan 'geram'. Komputer riba yang buat hal telah berjaya 'dibaik pulih' dengan 'adapter' baru. Alhamdulillah. Jadi, entri kali ini berkisar pengalaman pendek saya ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini pada Khamis dan Jumaat yang lalu (23 dan 24 Oktober) bersama keluarga.

Perjalanan kami bermula seawal jam 7 pagi. Bergerak dari rumah di Sungai Dua menaiki Innova abang ipar. Persinggahan pertama adalah di Hentian Perah.

decided to order Maggi Mee Goreng & Nasi Pataya from their ... 

Di sini, kami menikmati makan pagi laksam. Sedap sungguh laksam di gerai ini.

Seri Anjung Selera offers huge varieties of Malay food. 

Sambil makan-makan, anak kecil saya seperti biasa 'melayan' kucing peliharaan makcik di gerai ini yang berkeliaran di sekitar tempat kami duduk. Melihat anak kecil saya, selalu saya ingatkan diri untuk menikmati setiap detik di depan mata. Sebagaimana Khyra yang tidak hiraukan orang sekeliling apabila dia bertemu kucing. Sebagai seorang dewasa, saya bersyukur Allah telah kurniakan saya anak kecil yang selalu membuat saya berfikir bahawa hidup mesti disyukuri pada setiap detik ia berjalan, bukan hanya ketika di atas sejadah. Subhanallah. Banyak saya 'belajar' dari satu-satunya si kecil anugerah Allah kepada saya. Amin.

Menyambung catatan perjalanan, dari sini perjalanan kami teruskan sehingga sampai ke Bukit Bunga.

Bukit Bunga

Pelbagai pilihan makanan dan barangan boleh didapati di sini. Walaupun ini adalah percutian yang entah ke berapa kali saya ke Kelantan, pengalaman setiap kali ke negeri ini adalah seperti pertama kali. Saya suka perjalanan ke sini. Pemandangan bukit-bukau dan hutan yang sejuk mata memandang amat mendamaikan jiwa. Setelah hampir setengah jam di sini, kami meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang.

Sampai di Rantau Panjang, jam menunujukkan hampir 12.20 tengahari. Usai parkir kereta, kami terus ke gerai makan bersebelahan stesen bas Rantau panjang untuk makan tengahari. Menu tengahari adalah tomyam campur, telur bungkus, daging masak merah dan kailan ikan masin. Alhamdulillah, dengan perut yang lapar, menu pula amat menyelerakan, semua orang makan tanpa suara! Setelah kenyang, 'penerokaan' ke gerai-gerai sepanjang jalan di pekan ini bermula. Ibu mertua, kakak ipar dan anak saudara saya 'shopping' sakan! Dalam pada tidak merancang untuk membeli apa-apa, akhirnya saya dapat 2 helai tudung ekspres di sini! :)

Usai di Kompleks Rantau Panjang, perjalanan kami teruskan ke Kota Bharu menuju ke White Cottage Guest House yang telah ditempah sejak minggu lepas. Perasaan teruja untuk menginap di homestay setelah saya mempunyai homestay sendiri, ironik tetapi sangat mengujakan!

Seterusnya, ingin tahu pengalaman saya menginap di White Cottage Guest House ini? Ikuti catatan saya di bahagian 2 entri ini. Tunggu!

Sehingga 'bertemu' lagi. Wassalam.

Penafian: Semua foto adalah carian google kerana foto dari telefon bimbit saya belum dimuat naik ke komputer riba. :)


Monday, October 6, 2014

Bagaimana Memilih Homestay Yang Menepati Citarasa Anda?

 

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Koleksi Foto Peribadi (Zulaikha Homestay)

Salam kepada semua pembaca budiman. Tulisan saya pada kali ini berkisar tentang homestay. Bagaimana ya memilih homestay untuk penginapan mengikut spesifikasi anda sekeluarga? Pengalaman saya mengendalikan bisnes homestay setakat ini memberikan saya ilham tentang beberapa ciri yang boleh ditentukan oleh tetamu sebelum mendapat homestay pilihan yang menepati citarasa anda. Antara perkara yang anda perlu tentukan sebelum membuat keputusan untuk memilih mana-mana homestay adalah berdasarkan beberapa perkara asas yang berikut:

1) Tetapkan bajet anda.
2) Tempah awal untuk mengelakkan 'kesesakan' di saat akhir.
2) Pilih lokasi berdekatan tempat tujuan anda.
3) Tentukan bilaangan ahli keluarga yang turut serta secara tepat (bilangan kanak-kanak dan dewasa).
4) Hantar mesej kepada beberapa tuan punya homestay untuk pertimbangkan senarai harga.
5) Sekiranya berminat bertanya lanjut barulah menelefon.
6) Beritahu pemilik homestay samaada anda mengutamakan harga yang rendah atau  penginapan  yang lengkap (ini kerana keutamaan anda membolehkan pemilik homestay mencadangkan alternatif yang bertepatan dengan kehendak anda sekeluarga).
7) Ketahui jumlah maksimum dibenarkan untuk sesebuah homestay.
8) Kenalpasti kemudahan yang anda perlukan yang disediakan oleh tuan punya homestay.
9) Jika anda dikehendaki membuat deposit, pastikan jumlah yang perlu dibayar. Anda dinasihatkan membayar jumlah tertentu yang ditetapkan untuk deposit dan bukan bayaran penuh sebelum tiba hari penginapan.

Inilah antara tip-tip yang saya rasa dapat membantu anda di luar sana untuk memilih penginapan homestay yang menepati citarasa dan bajet anda. Yang penting anda tidak segan menyatakan kepada pemilik homestay apakah keutamaan anda kerana kebiasaannya kami pemilik homestay ada gabungan bersama pemilik-pemilik homestay yang lain. Jadi jika sebuah homestay agak mahal kerana rumah yang disediakan mempunya 4 bilik sedangkan keluarga anda hanya 5 orang, maka pemilik homestay tersebut mungkin boleh mencadangkan untuk anda rumah yang lebih kecil, mungkin dengan 2 bilik sahaja serta menepati perancangan bajet anda. 

Walau apa pun, kuncinya adalah perbincangan yang telus antara bakal tetamu dengan pemilik homestay berkenaan. Paling penting adalah penginapan yang disediakan menepati citarasa anda sekaligus manjadikan percutian anda sekeluarga sesuatu yang amat bermakna dan akan dikenang dalam lipatan memori yang indah selamanya.

Sekian, wassalam.