Wednesday, October 29, 2014

Pilih Homestay Berdekatan Tempat Dilawati





Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria, Koleksi Foto Zulaikha Homestay

 Salam semua.

Catatan saya hari ini berkisar homestay. Anda masih ingat catatan saya berkenaan lawatan ke Kelantan baru-baru ini? Di sini ingin saya bercerita bagaimana teknik bijak pengiklanan pemilik homestay White Cottage yang kami inap di Kota Bharu.

Ketika sampai di hadapan cafe Blaack Pepper di pekan Kota Bharu. Suami memberhentikan kereta di bahu jalan. Seketika kemudian dengar dia bercakap dengan pemilik homestay yang akan kami singgah untuk satu malam. 'Kak Maizatul akan mai sini jemput kita. Jadi kita tunggu sat la no', kata suami pada kami semua. Masing-masing mengangguk sambil mata meliar melihat pemandangan kawasan sekeliling. Kami kini berada di tepi cafe berkonsep hitam putih. Abang ipar saya asyik memuji konsep yang tampak klasik katanya. Dalam diam saya bersetuju. Nampak simple tapi elegant!

Tidak lama kemudian, sebuah Wira Aeroback merah, plat nombor Kelantan, berhenti di hadapan Innova kami. Suami mendapat panggilan telefon. Kak Maizatul sudah sampai untuk membawa kami ke White Cottage beliau. Nama yang sangat unik dan menarik pada saya.

Satu lagi, servis yang pantas dan mesra. Itu yang paling saya suka! :).

Sampai di jalan bertentangan SMK Kota, kami membelok ke kiri mengikuti kereta Wira ke dalam kawasan yang nampak seperti perkampungan. Saya mula terbayang suasana damai semalaman di sini nanti. Dalam hati saya tersenyum.

Lebih kurang 5 minit melalui jalan agak sempit yang hanya muat satu kereta, kami tiba di hadapan sebuah rumah dengan binaan yang amat cantik pada pandangan mata saya. Tanpa menunggu lama, sambil suami bersembang dengan tuan empunya homestay, saya terus meletakkan beg di bilik berhadapan ruang tamu. Bilik comel yang tidak terlalu besar tetapi selesa serta lengkap dengan semua kemudahan. Terdapat cermin besar di dinding, rak penyangkut tuala serta tuala dan sejadah.

Saya menjenguk ke bilik air. Terdapat sabun mandi cecair disediakan. Saya tersenyum mengingatkan kemudahan saya yang saya sediakan di homestay saya, Zulaikha Homestay di Sungai Dua.

Sebenarnya idea meletakkan sabun mandi di homestay saya dapat semasa bercuti di Kelantan beberapa tahun lepas dimana ketika itu saya masih belum mempunyai homestay seperti sekarang.

Jadi bagaimana suami mendapat tahu mengenai homestay ini? Tentunya melalui carian di laman sesawang mudah.my. Sungguh mudah! Tuan empunya homestay juga bijak dengan memberitahu bahawa homestay beliau berdekatan dengan Wakaf Che Yeh (salah satu tempat wajib-kunjung jika anda ke Kelantan!) serta pekan Kota Bharu di mana terletaknya Pasar Besar Siti Khadijah yang terkenal seantero Malaya itu!

Nampak seperti remeh untuk mengiklankan bahawa homestay anda terletak berdekatan tempat-tempat menarik nukan? tetapi memudahkan kerana tempat penginapan yang berdekatan  tempat-tempat menarik bakal menjimatkan masa percutian anda, bukan? Jadi, anda berpeluang ke lebih banyak tempat untuk dilawati dalam masa yang singkat.

Sehingga ini, ikuti sambungan di catatan saya seterusnya! Tunggu!

Wassalam.





Tuesday, October 28, 2014

Motivasi Belajar Bahasa Inggeris Cara Mudah!



 ten fun and easy ways to learn english

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google Fun Learning English

Assalamualaikum semua. Kali ini, mari belajar tips mudah berbahasa Inggeris!

Saya belajar Bahasa Inggeris pertama dengan guru di sekolah rendah. Masih ingat kerutan di dahi cikgu mendengar cerita hobi saya yang suka 'membaca' kamus! Haha. Nampak macam kalakar, bukan? Saya pernah terbaca tips yang menyatakan membaca kamus adalah satu teknik yang tidak efektif untuk pembelajaran bahasa. Namun saya sentiasa percaya tidak semua yang orang kata atau percaya adalah betul bagi kita. Mari saya bawa anda dengan kisah saya dan kamus.

Tip #1:
Bawa kamus ke mana saja anda pergi. Cari maksud apa-apa sahaja perkataan yang anda tidak tahu. Tidak kira perkataan itu anda baca di buku, suratkhabar, dari percakapan orang sekeliling atau di papan tanda kedai. Sekarang ini terdapat kamus elektronik, bukan? Sentiasa cari maksud perkataan.

Tip#2:
Aplikasikan/gunakan perkatan baru dalam percakapan atau penulisan anda. Kata-kata 'Belajar satu perkatan sehari' adalah sesuatu yang efektif dan tidak rugi jika anda cuba buat!

Tip#3:
Sentiasa cari bahan bacaan dalam bahasa Inggeris untuk anda baca. Sentiasa! Jangan sekejap-sekejap tetapi sentiasa. Sebagai contoh, di zaman sekolah dahulu saya suka membaca majalah hiburan. Jadi majalah yang selalu saya beli dan 'telaah' bersama kawan-kawan adalah Galaxy. Terpulangg kepada minat anda. Sekarang ini terdapat nanyak buku termasuk buku agama yang ditulis dengan gaya bahasa yang bagus dalam Bahasa Inggeris. Bagi saya sekarang, selain novel bahasa Inggeris, saya suka buku-buku motivasi. Ikut saja minat anda.

Ada antara pelajar saya yang suka manga, komik, buku thriller dan novel. Bacalah apa sahaja dan aplikasikan ke dalam karangan bahasa Inggeris anda di sekolah.

Tip#4:
Masukkan peribahasa atau idioms untuk menjadikan  penulisan anda lebih menarik. Sebagai contoh:
 


1) She said I'd never make it to college, but I got the last laugh.

atau, anda boleh menulis begini:

2) She said I'd never make it to college, but I got it.



Yang mana satu contoh di atas, ayatnya lebih menarik? Tentulah yang nombor satu kerana terdapat peribahasa di dalamnya, bukan? Juga, ingatlah, ayat yang menarik disertai dengan penggunaan peribahasa akan diberikan markah bahasa yang lebih tinggi dalam SPM. Jadi, pilihan di tangan anda!

Bertemu lagi di lain catatan. Selamat mencuba!




 

Catatan Ketika Langit Memerah

Primal Fear: Abandonment

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Salam pembaca yang dirahmati Allah.

Ketika kaki langit memerah di kala senja ini, sambil menunggu waktu Maghrib yang awal sekitar 7.05 di Pulau Pinang. Kepala saya terasa berat, tekak sakit sejak beberapa minggu. Sudah beberapa klinik saya lawati, termasuklah hospital. Namun, sakit tekak saya berkurang hanya seketika, kemudian menjelma kembali.

Namun, selepas rawatan di Klinik Putra di Bertam Indah, Kepala Batas tengahari tadi, semanagt saya seolah kembali sejak kesekian kalinya. Doktor yang baik hati. Klinik yang kemas sejuk mata memandang. Ditambah dengan alunan ayat suci al-Quran semasa menunggu giliran. Jiwa saya kembali tenang. Entah keserabutan apa yang melanda saya. Alhamdulillah, acapkali Allah sentiasa memandu saya. Syuku padaMu Ilahi.

Catatan senjakala ini mesti berhenti di sini. Moga kita semua sentiasa merebut peluang 'masa' yang Allah berikan selagi terdaya. Mari hargai masa "lapang sebelum sempit" kita. Mengimbas ini, saya teringat bagaimana saya berusaha keras untuk menyiapkan kertas soalan Bahasa Inggeris peperiksaan akhir tahun untuk tingkatan 4 kelmarin. Jadi saatu tugas saya selesai sebelum saya dapat berehat hari ini dengan tenang dek kerana demam yang tiba-tiba melanda.Amin. Semua itu dorongan dariNya.

Jom kita bersolat. Jumpa lagi di lain catatan.

Semoga rahmat Allah sentiasa melimpahi hidup kita semua.

Saturday, October 25, 2014

Pengurusan Penyimpanan Barangan di Rumah

 Declutter your home images

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Salam pembaca yang dirahmati Allah. Hidup saya dipenuhi dengan pelbagai barangan yang saya sayang tetapi tidak saya gunakan. Jiak sekadar barangan hiasan tidak menjadi masalah besar, tetapi hampir kesemua benda saya ingin simpan untuk 'kenangan'! Sudahnya hidup saya 'ditemani' pelbagai barangan yang meenyerabutkan fikiran saya!

Sehubungan dengan ini, saya merujuk kepada beberapa laman web untuk membantu saya menyelesaikan masalah ini. Antara yang sangat bermanfaat adalah laman-laman web berikut: http://zenhabits.net oleh Leo Babauta, www.oprah.com oleh Oprah Winfrey, www.becomingminimalist.com oleh Joshua Becker dan www.lifehack.org oleh Julie McCormick.

Untuk catatan kali ini saya ingin berkongsi artikel oleh Leo Babauta. Dalam tulisannya, Leo Babauta menggariskan beberapa panduan untuk mengurus hidup kita dengan lebih mudah. Katanya mula dengan sesuatu yang mudah. Antara cara-cara yang digariskan adalah:

1) Ambil masa 10 minit setiap hari untuk mengemaskan mana-mana yang berselerak. Ingat, hanya 10 minit!
2) Mula dengan satu longgokan, buat keputusan samaada barang tersebut perlu dikitar semula, buang, jual atau untuk didermakan. Jangan fikir dua kali. Nekad! Gunakan kotaak berasingan untuk setiap satu.

Donate or throw away labelled packing boxes

3) Bagi barangan yang masih digunakan, disiplinkan diri untuk letak barangan tersebut di tempat sepatutnya.
4) Berhenti selepas 10 minit. Sambung keesokannya untuk 10 minit lagi. Ingat, satu langkah kecil setiap hari.

Setelah anda bermula dengan langkah-langkah di atas, teruskan usaha anda dengan:

* Pilih dan kemas satu tempat setiap hari, selama seminggu.
* Lakukan, jangan beerfikir panjang!
* Sentiasa letakkan kotak-kotak barangan di boot kereta agar mudah untuk anda buang apa yang sepatutnya dibuang, setiap kali anda keluar rumah!
* Jika anda tidak pasti, gunakan satu kotak 'Mungkin'. Selepas 6 bulan, jika anda tidak menggunakan barangan tersebut, kemungkinan besar anda tidak perlukannya!
* Minta pertolongan pasangan atau ahli keluarga untuk membuat keputusan bagi barang-barang yang anda rasa amat sukar untuk anda membuat pilihan.
* Nikmati hidup anda yang mudah. Fokus kepada betapa gembiranya anda hidup di dalam kawasan yang kemas dan bersih tanpa anda berasa serabut! Motivasi ini akan membuatkan anda terus dengan projek mengemas 10 minit sehari bagi tempat-tempat di rumah (atau mungkin di tempat kerja) anda yang selama ini memeningkan kepala anda!

Selamat mengemas!

Wassalam.

Kembara ke Negeri Serambi Mekah - Bahagian 1

Bright Day Light

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Assalamualaikum semua.

Sejak beberapa hari saya agak 'sibuk'. Ya, sibuk dengan macam-macam hal kerja dan hal di rumah. Bagaikan tidak cukup dengan itu, komputer riba saya pula buat hal. Sudahlah 'usang', buat hal pula, haha. Geram kalau difikirkan dengan entri yang tergendala disebabkan 'kesibukan dan kekacauan' ini. Hehe. Telefom bimbit saya yang kecil comel juga tidak manjadikan hal ini lebih mudah. Skrin kecil tidak memenuhi kriteria untuk saya mengemaskini blog saban hari. Bukan apa, terlalu kecil tulisannya, bak kata orang Kedah, 'merenit', maksudnya terlalu kecil sampai tidak boleh dibaca tulisannya. :)

Jadi hari ini saya hendak melepaskan 'geram'. Komputer riba yang buat hal telah berjaya 'dibaik pulih' dengan 'adapter' baru. Alhamdulillah. Jadi, entri kali ini berkisar pengalaman pendek saya ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini pada Khamis dan Jumaat yang lalu (23 dan 24 Oktober) bersama keluarga.

Perjalanan kami bermula seawal jam 7 pagi. Bergerak dari rumah di Sungai Dua menaiki Innova abang ipar. Persinggahan pertama adalah di Hentian Perah.

decided to order Maggi Mee Goreng & Nasi Pataya from their ... 

Di sini, kami menikmati makan pagi laksam. Sedap sungguh laksam di gerai ini.

Seri Anjung Selera offers huge varieties of Malay food. 

Sambil makan-makan, anak kecil saya seperti biasa 'melayan' kucing peliharaan makcik di gerai ini yang berkeliaran di sekitar tempat kami duduk. Melihat anak kecil saya, selalu saya ingatkan diri untuk menikmati setiap detik di depan mata. Sebagaimana Khyra yang tidak hiraukan orang sekeliling apabila dia bertemu kucing. Sebagai seorang dewasa, saya bersyukur Allah telah kurniakan saya anak kecil yang selalu membuat saya berfikir bahawa hidup mesti disyukuri pada setiap detik ia berjalan, bukan hanya ketika di atas sejadah. Subhanallah. Banyak saya 'belajar' dari satu-satunya si kecil anugerah Allah kepada saya. Amin.

Menyambung catatan perjalanan, dari sini perjalanan kami teruskan sehingga sampai ke Bukit Bunga.

Bukit Bunga

Pelbagai pilihan makanan dan barangan boleh didapati di sini. Walaupun ini adalah percutian yang entah ke berapa kali saya ke Kelantan, pengalaman setiap kali ke negeri ini adalah seperti pertama kali. Saya suka perjalanan ke sini. Pemandangan bukit-bukau dan hutan yang sejuk mata memandang amat mendamaikan jiwa. Setelah hampir setengah jam di sini, kami meneruskan perjalanan ke Rantau Panjang.

Sampai di Rantau Panjang, jam menunujukkan hampir 12.20 tengahari. Usai parkir kereta, kami terus ke gerai makan bersebelahan stesen bas Rantau panjang untuk makan tengahari. Menu tengahari adalah tomyam campur, telur bungkus, daging masak merah dan kailan ikan masin. Alhamdulillah, dengan perut yang lapar, menu pula amat menyelerakan, semua orang makan tanpa suara! Setelah kenyang, 'penerokaan' ke gerai-gerai sepanjang jalan di pekan ini bermula. Ibu mertua, kakak ipar dan anak saudara saya 'shopping' sakan! Dalam pada tidak merancang untuk membeli apa-apa, akhirnya saya dapat 2 helai tudung ekspres di sini! :)

Usai di Kompleks Rantau Panjang, perjalanan kami teruskan ke Kota Bharu menuju ke White Cottage Guest House yang telah ditempah sejak minggu lepas. Perasaan teruja untuk menginap di homestay setelah saya mempunyai homestay sendiri, ironik tetapi sangat mengujakan!

Seterusnya, ingin tahu pengalaman saya menginap di White Cottage Guest House ini? Ikuti catatan saya di bahagian 2 entri ini. Tunggu!

Sehingga 'bertemu' lagi. Wassalam.

Penafian: Semua foto adalah carian google kerana foto dari telefon bimbit saya belum dimuat naik ke komputer riba. :)


Sunday, October 19, 2014

Bukan Mudah: Bahagian 2

 

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Assalamualaikum semua. Semoga rahmat Allah sentiasa melindungi kita.

Catatan saya pada hari ini tentang bukan mudah adalah untuk bahagian kedua. Saya telah jumpa buku kecil saya yang telah saya sebutkan di entri sebelum ini. Amin. Benarlah, saya pernah terbaca satu kata-kata motivasi di Internet beberapa hari lepas, antaranya menyebut, 'jika kita hilang sesuatu, kemas tempat kerja anda'. Kata-kata yang mudah namun memberi penyuntik semangat kepada saya untuk mengemaskan ruang atas rumah saya di mana saya menyimpan 'khazanah' pelbagai buku di 2 rak kecil. Alhamdulillah buku yang dicari-cari telah saya temui.

Sebenarnya, bukan mudah saya hendak meggerakkan diri melakukan sesuatu. Saya percaya anda juga pernah merasa begitu, bukan? Jadi, semntelah terbaca terlihat kata-kata itu, tanpa berfikir panjang saya terus bangun dan mula mengemas rak buku serta mainan anak saya yang berbakul-bakul, selama 2 jam tanpa henti! Fuh, memang penat tetapi saya sangat beruas hati melihat hasilnya.

Seperti yang saya sebutkan, bukan mudah untuk menulis, apatah lagi menulis sajak. Jika tiada ilham, buatlah apa sahaja, saya tetap buntu. Jadi tiada masa tertentu untuk ilham menulis (samaada catatan blog atau sajak). Apa yang saya buat adalah memastikan setiap kali keluar rumah, saya akan pastikan sebuah buku catatan kecil dbawa bersama, manalah tahu tiba-tiba idea datang walaupun tengah memandu, bukan? Jika itu terjadi, saya pasti berhenti di tempat yang selamat, kemudian menulis apa yang terbit di fikiran. Kadang-kadang suami tergelak melihat telatah saya, katanya pelik dan sangat obses! Haha, tetapi saya katakan kepada suami, itulah dunia saya dan dia sentiasa memahami.

Jadi kali ini, saya ingin paparkan salah satu koleksi sajak saya daripada buku catatan kecil saya yang lusuh. Jom baca!

Mengapa, Alangkah

Mengapa mesti manusia benci?
Alangkah indah jika sayang-menyayangi

Mengapa mesti manusia curiga?
Alangkah indah jika saling percaya

Mengapa mesti manusia menipu?
Alangkah indah jika yang ada hanya kejujuran

Mengapa mesti manusia cemburu?
Alangkah indah jika saling memberi dorongan

Mengapa mesti manusia mencaci?
Alangkah indah jika saling memuji

Mengapa mesti manusia curang?
Alangkah indah jika saling bertanggungjawab

Mengapa, mengapa dan mengapa?
Alangkah indah dunia yang fana ini
andai dihiasi manusia-manusia yang taat pada Tuhannya
andai dihiasi manusia-manusia yang tahu tanggungjawabnya
yang tahu dan sedar, wujudnya mereka di alam ini hanya buat seketika
sebelum kembali menemui Pencipta Yang Esa.

Alangkah indahnya.

Nukilan: Sutera Ungu (Rozanah Zakaria)
Butterworth
23 Ogos 2005.

Sekian, bertemu lagi di lain catatan. Saya doakan kita semua bahagia dan membahagiakan insan di sekeliling kita. Wassalam.




Wednesday, October 15, 2014

Bukan Mudah

Dasar-dasar Teknik Menulis Karya Ilmiah - ANNEAHIRA.COM

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Salam kalian semua yang setia membaca catatan blog saya yang masih bertatih ini.

Cerita saya hari ini berkisar tentang bukan mudah menulis, namun bukan mudah juga untuk saya berhenti menulis apabila saya sudah mula menulis!

Cerita menulis ini sudah saya mulakan lama sejak saya di bangku sekolah. Seperti yang saya pernah nyatakan dalam catatan saya yang terdahulu, minat saya adalah membaca. Jadi, secara tidak langsung, daripada pembacaan itu, saya juga minat menulis, terutamanya sajak. Saya ada satu buku sekolah yang bersaiz kecil berkulit coklat yang agak tebal dan lusuh (kerana terlalu lama) menyimpan koleksi sajak-sajak yang saya tulis ketika ilham datang mencurah-curah. Hasil nukilan saya ada yang dalam Bahasa Melayu dan ada juga yang dalam Bahasa Inggeris.

Saya percaya bahasa puitis yang saya dapat, banyak yang saya warisi daripada ayah yang suka 'berceramah' kepada kami adik-beradik. Sesi sarapan pagi kami sekeluarga selalunya berakhir setelah lebih kurang dua jam! Sejam makan, sejam lagi berdiskusi tentang perkara-perkara isu semasa atau setia mendengar (kadang-kadang kes paksa-rela kerana tiada siapa berani bangun ke tempat lain ketika ayah sedang 'berceramah') ceramah ayah yang panjng lebar diselang-seli dengan petikan kata-kata semangat dari tokoh yang ayah kagumi atau kata-kata dan falsafah ayah sendiri. Sesungguhnya saya amat mengagumi ayah kerana dalam kepayahan hidup, ayah sentiasa terapkan kepada kami adik-beradik bahawa secupak mesti menjadi bukan sahaja segantang, tetapi mesti menjadi berguni-guni!

Berbalik kepada cerita 'bukan mudah' saya. Saya sebenarnya gemar membaca ruangan sajak di akhbar-akhbar. Semua tulisan itu akan menjadi sumber saya untuk menulis. Pernah sekali, pada suatu sambutan hari guru di sekolah lama saya, ada seorang pelajar yang telah diamanahkan oleh guru untuk memenuhi slot sajak pada hari itu. Hendak dijadikan cerita, pelajar itu tidak hadir pada hari tersebut.

Guru tersebut menyatakan kepada saya, beliau sudah berpeluh-peluh kerana majlis akan bermula hanya kurang daripada setengah jam ketika itu. Jika tiada pengganti, katanya malu besar dia kerana slot itu, yang telah dimasukkan ke dalam buku program, akan kosong. Kerana tidak sampai hati, saya menyatakan saya akan membaca satu sajak bagi mengisi slot tersebut. Jadi, saya diberi ruang tanpa gangguan selama sepuluh minit untuk menyelesaikan 'tugasan minda' saya menulis sajak 'segera'!

Kemudian, terhasillah sajak saya yang entah ke berapa. Masih saya ingat secara jelas, ketika menyampaikan sajak tersebut, saya terpaksa berpaut di rostrum dek kerana terlalu gementar. Haha, kelakar jika diingatkan kerana tiada sipa yang menyedari keadaan tersebut disebabkan saya berjaya berlagak tenang walaupun peluh mencurah-curah di belakang baju saya! Pengalaman manis yang akan saya kenang sampai bila-bila.

Usai mendeklamasi sajak, tepukan gemuruh membuatkan saya lega yang teramat sangat. Rakan guru saya tadi amat berterima kasih kerana saya telah 'menyelamatkan' dia. Namun saya katakan padanya, saya sedikit pun tidak berasa terbeban kerana menulis sajak dan mendeklamasikannya adalah minat saya yang mendalam walaupun setiap kali persembahan, saya pasti mengalami 'stage fright' atau 'gementar pentas'.

Namun, saya  percaya itu adalah perkara biasa yang dilalui oleh semua orang di pentas tetapi saya belajar bagaimana untuk mengawal keadaan ini dengan menonton video-video 'speaker' terbaik di laman youtube yang sedikit sebanyak membantu saya mengatasi masalah ini.

Antara video yang saya tonton untuk tujuan ini adalah ucapan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama kerana ucapannya yang selalu mempengaruhi ramai orang. Kemudian saya juga menonton video inspirasi oleh Nick Vujicic. Juga saya menonton video-video tutorial untuk cara-cara serta postur yang betul untuk pengucapan awam.

Rentetan daripada ini, saya juga mengambil inisiatif membantu para pelajar di sekolah untuk pengucapan awam. Hal ini saya lakukan secara sukarela kerana saya juga adalah salah seorang 'master of ceremony' atau pengacara majlis di sekolah saya setiap kali berlangsungnya apa-apa sambutan atau majlis keraian. Saya telah 'berjaya' membuatkan para pelajar menekuni ucapan Ketua Pengawas sekolah saya kini, berbanding dahulu kerana ucapannya kini yang lebih berkeyakinan serta berintonasi. Bukanlah tujuan saya hendak membangga diri bercerita kisah pelajar saya ini, namun ada satu perasaan di sudut hati yang tidak dapat saya gambarkan apabila pelajar ini datang dan berterima kasih kerana tunjuk ajar yang saya berikan. Amin. Moga-moga ilmu yang sedikit yang ada pada saya ini dapat dimanfaatkan untuk insan-insan di sekeliling saya.

Berbalik kepada cerita sajak saya tadi, saya sebenarnya ingin masukkan sajak saya di sini, namun disebabkan saya ini selalu cuai, saya mencari-cari sajak tersebut dan masih tidak pasti entah di mana telah saya letakkannya. Jadi niat saya untuk berkongsi nukilan saya itu dengan para pembaca terbantut seketika. Tidak mengapa, lambat-laun saya akan cuba juga meletakkan sajak-sajak saya untuk tatapan pembaca semua.

Fuh! Kesimpulannya, bukan mudah untuk melakukan sesuatu. Tetapi saya percaya jika kita ingin melakukannya, usaha kita pasti akan membuahkan hasil. Namun, untuk bermula melakukan sesuatu bukanlah mudah, tetapi tidak mudah juga untuk berhenti melakukan sesuatu yang sudah kita mulakan. Jadi, yang terpenting di sini adalah permulaan. Paksa diri untuk mula melakukan sesuatu yang baik dan bermanfaat untuk diri kita dan orang-orang di sekeliling kita.

Sekian nukilan saya untuk kali ini. Semoga bertemu di lain masa. Wassalam.




Sunday, October 12, 2014

Hargai Ni'kmat Di Hadapan Kita


Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Koleksi Carian Google

Salam pembaca yang dirahmati Allah sekalian.

Bagaimana kita menghadapi kehidupan seharian kita tanpa mengira apa yang ada di sekeliling kita? Acapkali kita terleka (bercakap mengenai diri saya sendiri) dalam mengejar apa yang kita inginkan, secara tidak sedar mengabaikan apa yang kita ada.

Hari ini hari Ahad, seperti kebiasaan saya seorang guru, Ahad adalah hari cuti saya kerana saya mengajar di Pulau Pinang. Bagi kebanyakan guru yang lain saya tidak pasti, namun kini hari yang sebenar-benar saya bercuti adalah hari Ahad kerana kebanyakan Sabtu saya dipenuhi dengan bermacam-macam aktiviti di sekolah. Jika tidak mesyuarat atau sekolah ganti atau apa-apa program untuk guru, saya pula yang akan mengadakan kelas tuisyen untuk para pelajar saya yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada awal November nanti. Inilah kehidupan saya seorang cikgu.

Cuma, hari ini saya berasa agak tenang, seolah-olah masa 24 jam saya amat panjang hari ini. Entahlah, kata orang, 'masa seakan berlari jika kita berseronok'. Saya tidak pasti tentang itu. Jika hendak mengatakan saya tidak berasa seronok hari ini, itu satu pernyataan yang tidak benar sama sekali kerana banyak perkara yang dapat saya lakukan sejak pagi tadi bersama anak kecil saya.

Mungkin istilahnya pada saya boleh digambarkan begini, saya merasakan masa saya 'cukup' dan 'panjang' hari ini kerasa saya menikmati setiap detik tanpa terburu-buru berfikir hendak mengejar masa untuk memuaskan hati sesiapa. Boleh bukan jika saya berfikiran begitu?

Berpagi-pagian dengan anak perempuan saya, saya banyak 'belajar' daripada si kecil ini. Pagi-pagi Khyra kalut mengarahkan saya supaya mengasingkan baju basuhan ke dalam dua bakul berbeza. Katanya hendak menyidai bajunya sendiri, "Tak mahu sidai baju Mama, Khyra hendak sidai baju sendiri saja". Sangat tegas. Saya tidak dapat menahan senyum dan kemudian tertawa. Bulat mata Khyra melihat saya. Saya abaikan pandangannya, cuma saya arahkan dia mengambil dan mengasingkan sendiri baju mana yang hendak dimasukkan ke dalam bakul kecilnya. Saya belajar meneguhkan pendirian sendiri dengan si kecil ini. Jika itu yang dia katakan, maka begitulah yang dia akan buat. Jadi, saya fikir, sebagai seorang dewasa saya harus tegas dengan diri saya tentang hal ini. Yalah kan, kadang-kadang kita terlalu leka melakukan sesuatu, kita terlepas masa untuk melakukan sesuatu yang lain yang telah kita masukkan ke dalam jadual kerja kita. Jadi pagi ini saya belajar tentang mendahulukan apa yang perlu didahulukan serta pembahagian masa yang adil untuk semua tugas yang perlu dilakukan, daripada si kecil bermulut ramah ini.

Kemudian, usai menyidai baju di ampaian bersama Khyra, perut kembali lapar. Sarapan mi goreng serta karipap pagi tadi bersama secawan nescafe ternyata sudah hilang 'kesannya' pada saya ketika jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Sekali lagi saya makan, kali ini roti jala cecah kuah kari daging serta kentang yang dibeli bapa mertua saya di kedai berdekatan rumah.

'Ha, sekarang masa untuk menulis', monolog hati kecil saya. Komputer riba yang memang sedia terbuka sejak pagi saya tenung kembali. Selesai menyemak beberapa laman sesawang yang penting, saya terus membuka tetingkap blog. Agak lama saya merenung skrin 14" komputer riba Compaq saya yang agak berusia. 'Idea! Idea! Datanglah!'. Kosong. itulah yang hadir dalam fikiran saya ketika itu. Akhirnya saya bangun semula menuju ke mesin basuhan. Saya masukkan pula kain buruk yang digunakan untuk mengelap di dapur. Selesai, saya tinggalkan mesin basuh. Kembali ke hadapan komputer riba. Kali ini idea mencurah-curah. Saya fikir saya ingin berkongsi dengan semua betapa perlu kita menghargai perkara-perkara kecil dalam kehidupan seharian kita.

Sebagai contoh menyidai kain dan baju di ampaian. Perkara yang nampak remeh dan mungkin memenatkan bukan? Namun, pagi tadi apa yang saya buat adalah menikmati pemandangan jalan raya dengan kereta yang lalu-lalang di hadapan rumah sambil perlahan-lahan mengetuk-ngetuk kain di udara untuk disidai. Alangkah rugi rasanya kerana selama ini saya jarang sekali dapat menikmati suasana sebegitu kerana pada kebanyakan masa, saya menyidai kain di waktu malam, dalam keadaan yang tergesa-gesa hendak menghabiskan satu bakul besar kain kerana selalunya apabila mata mengerling jam dinding, jarum hampir 12 malam, kemudian saya amsih ada satu tugas lagi yang perlu diselesaikan iaitu menggosok baju saya, anak serta suami untuk keesokan harinya. Fuh! Penat bukan. Terkadang saya terfikir, apabila kita melakukan sesuatu kerja, tetapi pada masa yang sama fikiran kita berada di tempat lain, kita sangat rugi kerana tiada kepuasan dalam diri melakukan apa yang patut kita lakukan setiap hari. Sampai ke satu tahap, kita akan rasa satu perasaan yang kosong, tanpa makna. Saya pernah merasakan itu. Namun, cepat-cepat saya beristighfar apabila tersedar kerana saya tahu saya berkuasa untuk mengubah apa yang saya fikir (dengan izin Allah jua). Jadi, sejak itu, saya sentiasa berhenti sejenak dalam melakukan apa jua, kemudian merenung sekeliling dan bersyukur bahawa saya masih diberi peluang oleh Yang Esa untuk melakukan apa yang saya sering lakukan setiap hari. Sejak itu, apa sahaja yang saya buat, saya akan sentiasa mencari hikmah disebaliknya supaya saya sentiasa tidak lupa bersyukur dengan kurniaan dariNya yang tidak terkira banyaknya setiap hari kehidupan kita berlalu.

Rasanya cukup di sini sahaja nukilan saya hari ini. Biarlah saya tamatkan catatan ini dengan kata-kata yang pernah saya dengar suatu ketika dulu (tidak pasti di mana), namun yang ini saya ubahsuai dalam versi saya sendiri:

Andai kita mengeluh kerana penat menulis, bersyukurlah
kerana itu bermakna kita masih punyai jari-jemari.
 People are divided in two categories: readers and writers.

Andai kita mengeluh kerana penat mengemas permainan anak yang bersepah, bersyukurlah
kerana itu tanda kita punyai anak-anak.
Child safety packs help protect vulnerable children in social housing

Andai kita mengeluh kerana kasut sudah lusuh tidak bertukar, bersyukurlah
kerana itu tandanya kita punya kaki.
happy-feet

Andai kita mengeluh kerana penat bekerja, bersyukurlah
kerana itu tandanya kita punyai pekerjaan.
people at work

Andai hari ini kita mengeluh kerana merasakan masa kita terlalu singkat, bersyukurlah
kerana itu tandanya kita masih punyai masa dan
masih diberi rahmatNya untuk berbakti di BumiNya
sebelum kita kembali menemuiNya.
 Thankful People Are Happy People

Amin. Wassalam.

Saturday, October 11, 2014

Hari Yang Cerah Dan Mendamaikan




Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google


Salam pembaca budiman. Hari ini cerah dan mendamaikan.

Hari ini idea penulisan saya bermula dengan persoalan yang berlegar-legar dalam fikiran saya beberapa hari kebelakangan ini. Beberapa hari ini saya agak sibuk dengan hal sendiri berkaitan kerja saya, sebagai seorang pendidik. Sungguh, tugas yang saya galas kini semakin hari semakin berat dan acapkali rasa 'tidak tertanggung' singgah di fikiran bawah sedar saya. Namun, saya cinta akan pekerjaan yang semangatnya mengalir dalam urat saraf dan darah yang mengalir dalam tubuh saya. (Saya harap perumpamaan saya tidak terlalu ektsrim untuk menggambarkan perasaan saya yang sebenar bagaimana saya menganggap ini satu kerjaya, bukan kerja pada saya).

Sebelum saya mengulas panjang lebar, di hari yang cerah dan mendamaikan jiwa ini, mari kita lihat apa yang sentiasa ternging-ngiang di fikiran saya beberapa hari ini. Namun untuk perbincangan kita hari ini biarlah saya nyatakan hanya satu persoalan:

1) Bagaimana ya ingin memulakan hari anda dengan semangat penuh positif sedangkan di sekeliling anda penuh dengan aura negatif?

Ha, bagaimana perasaan anda membaca pengenalan entri saya kali ini? Tertanya-tanya? Apa sebenarnya yang saya cuba sampaikan yang agak berbaur negatif ini? Jangan salah faham, nanti dulu! Teruskan membaca. Anda tidak tersilap blog atau jika anda rasa saya sudah hilang arah untuk menulis, teruskan saja membaca kerana anda berada di 'landasan yang betul'. Boleh saya guna ayat begitu? :)

Tidak dinafikan ungkapan supaya kita berfikiran positif acapkali kita dengar di mana-mana. Senang mengungkapkan tetapi bukan semudah itu untuk mengamalkan. Namun, jangan salah sangka, ayat saya belum terhenti di situ. Bukan mudah untuk kekal positif dengan segala cabaran yang mendatang, namun pada saya positif atau negatifnya fikiran kita adalah daripada diri kita sendiri! Anda setuju? Daripada buku The Secret oleh Rhonda Byrne, antaranya menyebut - dalam olahan ayat saya sendiri, 'Hidup kita adalah dari dalam ke luar'. Apa maksudnya ya? Apabila saya habis membaca buku ini di suatu petang yang damai seperti petang ini, pada tahun lepas, saya terfikir, betapa selama ini kebanyakan kita, termasuklah saya terutamanya, 'hidup dari luar ke dalam'. Maksudnya tindakan kita kebanyakannya adalah reaksi daripada apa yang berlaku di sekeliling kita. Bukankah begitu? Tetapi konsep yang diterapkan di dalam buku ini adalah supaya kita mengukuhkan jati diri kita, dalam erti kata yang lain, kita mempengaruhi apa yang berlaku di sekeliling kita, bukan kita yang terpengaruh dengan apa yang berlaku. Bagaimana? Sekarang anda faham atau semakin keliru? Ha, agak berat bukan topik kita kali ini? Namun, saya percaya sekali-sekala kita perlu mencabar minda supaya berfikir di luar kotak, bukan?

Mengukuhkan kepercayaan dalam diri serta jati diri adalah sesuatu yang memerlukan komitmen dan tahap konsentrasi yang tinggi. Sebagai contoh, saya keluar ke tempat kerja pada suatu hari seperti biasa. Di tempat kerja, ada seorang rakan yang entah bagaimana tiba-tiba datang dan menengking saya tanpa sebab. Okey, berhenti di situ sekejap. Mari kita fikir, pada kebiasaannya, apa agaknya anda rasa, reaksi saya terhadap sergahan rakan saya tadi? Mungkin ada yang mengatakan saya juga akan  melenting kerana saya tidak bersalah dan saya juga ada maruah, malu kepada rakan lain di sekeliling. Atau mungkin ada yang berpendapat saya akan berdiam diri dan tidak mempedulikan rakan saya itu kerana apa yang dibuat adalah layanan yang tidak sepatutnya kepada saya. Jadi apa ya tindakan saya yang sepatutnya? Berbalik kepada perbincangan kita di atas. Jika difikirkan, memang sakit hati bukan jika orang tidak menghormati kita? namun, jika kehidupan di luar dikawal oleh jiwa kita yang kental, kita tidak akan terus bereaksi tanpa berfikir secara rasional walaupun situasi yang berlaku adalah tiba-tiba dan tidak dapat dijangka. Jadi, jika saya telah menetapkan pada diri saya bahawa tiada orang lain yang boleh mengawal hidup saya selain saya sendiri (semestinya dengan izin Yang Maha Esa), jadi saya tidak akan bereaksi melulu terhadapa apa yang berlaku. Jika saya bertindak balas secara sedar atau pun tidak, bermaksud saya telah membenarkan orang itu mengawal emosi saya. Mudah bukan konsepnya? Jadi, saya akan bertindak mengikut apa yang disuruh minda saya, bukan kerana kata-kata rakan tadi kepada saya. Anda pernah cuba begitu? Cubalah praktikkan hari ini, saya telah mencuba beberapa kali mengamalkan sikap sebegini (walaupun agak susah pada permulaannya), akhirnya saya rasa saya lebih kawalan terhadap diri sendiri dan alhamdulillah, keyakinan diri saya semakin meningkat.

Fuh, topik yang berat juga bukan? Seberat kepala saya semasa membaca buku ini. :). Namun, setelah habis membaca naskhah ini, saya mendapat satu kesimpulan yang amat menginsafkan saya. Buku ini agak banyak pengaruh 'keagamaan' di dalamnya (lihat nama penulisnya), namun dengan ilmu agama yang tidak seberapa yang terpahat di sanubari saya, saya jadi semakin mengagumi kitab Al-Quran yang suci. Kenapa saya berkata begitu? Hampir keseluruhan kandungan buku ini, intipatinya adalah apa yang telah lama diajar dalam Islam. Namun, olahan yang dibuat penulis ini menjadikannya sebuah buku motivasi 'daripada Barat'. Jadi, kebaikan yang saya ambil dari buku ini ialah, ia menyedarkan saya tentang pentingnya saya terus mendalami ajaran agama yang saya cintai, iaitu Islam. Apa pun, ilmu yang baik adalah dari Dia Yang Esa walau siapa pun yang menyampaikan ilmu itu kepada kita. Jadi, jom kita hidup secara positif, mudah-mudahan kita akan sebarkan aura positif kepada semua orang di sekeliling kita serta membantutkan aura negatif yang menunggu masa untuk memusnahkan kebahagiaan kita. Ingat, selagi diizin Allah, kitalah yang mengawal diri kita, bukan siapa-siapa yang lain di sekeliling kita.

Sehingga itu, semoga anda semua sentiasa dirahmati Allah di hari yang cerah dan mendamaikan ini, dan semoga Allah tetapkan hati saya dalam bidang yang saya ceburi ini. Amin.

Wednesday, October 8, 2014

Cerita Hal Makan-Makan: Makanan Barat



Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

Salam semua.

Hari ini catatan harian saya berkisar makanan barat yang saya sukai sekitar Pulau Pinang dan Sungai Petani. Memandangkan tempat tinggal saya di Sungai Dua ini berdekatan dengan Lebuhraya PLUS, jadi untuk ke Sungai Petani (Selatan) tidak menjadi halangan kerana jaraknya hanya lebih kurang setengah jam perjalanan. Idea cerita makan-makan saya kali ini timbul kerana setiap kali ada tetamu menginap di homestay saya, mereka akan bertanya perihal tempat makan yang istimewa di sini. Jadi, saya rasa eloklah saya berkongsi tempat makan yang selalu saya kunjungi bersama keluarga serta menjadi kegemaran kami.

 
LA Tea Garden
Antara cafe yang menyajikan makanan barat yang popular adalah LA Tea Garden. Kedai ini terletak bersebelahan stesen minyak Petron, di sebelah kanan jalan jika anda keluar daripada Lebuhraya Utara-Selatan PLUS 'exit' plaza tol Sungai Dua. Senaang hendak mengecam tempat ini, di sepanjang hadapan cafe yang dibuat di bawah rumah kayu tradisional ini, berdiri teguh namun meliang-liuk lemah gemalai pokok-pokok buluh cina yang dijaga rapi. Lampu di cafe ini agak suram jika dilihat dari luar, menggambarkan suasana romantik dan tenang di sebalik jalan raya di hadapan cafe yang tidak pernah suram sehingga ke lewat malam. Jika ke sini, sajian istimewa adalah makanan barat mereka. Walaupun ada makan timur lain seperti nasi goreng dan sebagainya, secara peribadi, saya sarankan anda mencuba makanan barat cafe ini yang pada saya 'cukup segala rasa'.



De Pauh Garden

Restoran ini boleh dilihat dari jalan besar Permatang Pauh yang sentiasa sibuk. Apa yang saya paling suka di sini ialah mereka menyediakan skrin besar bagi perlawanan bola sepak. Ada satu ketika, riuh-rendah restoran ini dengan penyokong Liverpool dan Manchester United ketika dua gergasi bola sepak ini berentap. Saya turut serta bersama suami dan anak. Suami saya adalah fanatik Liverpool sehinggakan saya dan anak perempuan 'terjebak' sama. Di De Pauh Garden ini, makanan baratnya adalah antara yang terbaik, namun harganya agak mahal jika hendak dibandingkan dengan satu lagi restoran kegemaran saya, The Chicken Chop Shop di Teluk Air Tawar. Apa pun, pada saya harga bukanlah suatu halangan kerana kualiti makanan yang disediakan adalah antara yang terbaik.


Big Mouth Republic

Saya mula mengenali cafe Big Mouth Republic ini semasa sekolah saya mengadakan perlawanan bowling untuk guru-guru dan staf sekolah di Pusat Bowling Sejati, bersebelahan Hotel Park Avenue. Jamuan makan tengahari kami ditempah di cafe ini. Inilah kali pertama saya ke cafe ini dan mengenali secara tidak langsung tuan punya cafe yang masih muda belia. (Lebih muda dari saya. Oleh kerana saya menganggap saya masih tergolong di kalangan muda-mudi, jadi sesiapa yang lebih muda daripada saya, akan saya anggap sebagai muda belia, boleh begitu?). Saya amat kagum dengan kegigihan beliau. Walaupun cafe ini agak kecil, namun ruang di dalamnya dihias dengan amat bijak oleh si pemilik cafe. Hiasan ala-ala British menjadikan cafe kecil ini berada dalam prestijnya yang tersendiri. Setiap kali ke sini saya pasti akan berangan-angan suami saya membuka cafe khusus untuk peminat Liverpool dana saya menjadi salah seorang yang menjalankan pengurusan cafe. Alangkah seronoknya, bukan? Jadi, berkunjunglah ke sini kerana bukan sahaja makanannya yang sedap menjilat jari, gelas-gelas airnya yang unik juga tidak pernah gagal menambat hati saya yang sudah acapkali berkunjung ke sini.

Jadi, apa pun pilihan anda, semua cafe dan restoran ini tidak akan mengecewakan anda! Cubalah ya dan anda boleh tinggalkan komen dan maklumbalas di sini ya nanti. Sehingga itu, moga berjumpa lagi di catatan yang akan datang! Sehingga itu, (memetik kata-kata Prof Dr Muhaya: 'Semoga kita sentiasa bahagia dan membahagiakan'.

Wassalam.


*Penafian: Semua foto adalah carian google kecuali dinyatakan sebaliknya.

Tuesday, October 7, 2014

Penyediaan 'Goodie Bags' untuk Hari Lahir

 

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Koleksi Peribadi

Membuat goodie bags adalah minat saya. Seperti yang saya nyatakan di catatan pengenalan saya di blog ini, masa untuk kerja tangan kraf ini sentiasa 'ada' bagi saya, tidak kiralah sesibuk mana pun saya. Itulah dunia saya dan goodie bags. Terbaru, projek saya adalah sempena sambutan hari lahir yang keenam anak perempuan saya, Khyra. Sejak awal tahun Khyra bersekolah di tadika, boleh dikatakan hampir selang seminggu akan ada sahaja goodie bags yang dibawa balik. Katanya hari lahir kawan-kawan. Sejak itu Khyra selalu bertanya bilakah hari lahirnya pula akan tiba. Saya mengambil peluang itu mengajarkan puteri saya ini tentang bulan-bulan dalam setahun. Ini kerana puteri kecil ini selalu mendesak saya 'mempercepatkan' hari lahirnya! Tergelak saya ketika itu. Bagaimana ya hendak dipercepatkan? Sudah tentu mustahil, bukan? Tetapi, itulah kanak-kanak, tiada yang mustahil kamus kehidupan seharian mereka.

Berbalik kepada projek goodie bags yang saya siapkan dengan bantuan Khyra sendiri serta suami. Barang-barang yang digunakan mudah didapati. Antaranya ialah:
1) Beg kertas coklat
2) Riben saiz kecil
3) Kertas 'dolly'
4) Kad keras bercorak
5) Kertas warna
6) Gam panas atau gam UHU
7) Gam cair biasa
8) Stapler (atau penyepit baju kayu)
9) Penebuk kertas lubang 1
10) Gunting
11) Komputer dan printer (jika tidak menulis dengan tangan)

Cara-caranya:
1) Beg kertas coklat dilipat di bahagian atas kira-kira 1 inci serta ditebuk lubang di sebelah kiri menggunakan penebuk kertas.
2) Menggunakan riben yang telah digunting sepanjang kira-kira 20cm, masukkan riben tersebut ke dalam lubang di beg tadi. Kemudian lekatkan kedua-dua hujung riben tersebut menggunakan gam panas atau gam UHU.
3) Di bahagian hadapan beg kertas, lekatkan kertas 'dolly' di tengah-tengah. Kemudian di atasnya, letakkan kad keras bercorak yang telah digunting berbentuk empat segi sama. Saiz kad tersebut adalah mengikut diameter bahagian tengah kertas 'dolly' yang tidak bercorak.
4) Kemudian, lekatkan kertas warna yang telah dicetak ucapan Selamat Hari Lahir di atasnya. Saiznya harus lebih kecil daripada kad bercorak tadi.
5) Akhir sekali, bolehlah masukkan bahan makanan yang anda telah sediakan ke dalam goodie bags tersebut. Setelah selesai bolehlah stapler bahagian atas beg kertas yang telah dilipat tadi atau pun bolehlah menggunakan penyepit kain kayu yang dilekatkan kumbang kecil atau rama-rama (boleh didapati di kedai-kedai seperti Do It Yourself di Tesco).

Nota: Hiasan goodie bags adalah mengikut apa yang telah saya buat sempena hari lahir anak saya. Untuk idea-idea goodie bags serta hasil kraftangan saya yang lain, nantikan artikel saya seterusnya.

Sekian, moga perkongsian ini dapat memberikan ilham untuk anda memeriahkan sambutan hari lahir anak tersayang. Kos yang diperlukan amat rendah jika hendak dibandingkan dengan kegembiraan yang terpancar di wajah anak tersayang saat melihat kesungguhan anda merealisasikan sambutan hari lahirnya! Wassalam, berjumpa lagi di coretan saya yang akan datang.

Sehingga itu, saya doakan semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan rahmatNya. Amin.





Monday, October 6, 2014

Bagaimana Memilih Homestay Yang Menepati Citarasa Anda?

 

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Koleksi Foto Peribadi (Zulaikha Homestay)

Salam kepada semua pembaca budiman. Tulisan saya pada kali ini berkisar tentang homestay. Bagaimana ya memilih homestay untuk penginapan mengikut spesifikasi anda sekeluarga? Pengalaman saya mengendalikan bisnes homestay setakat ini memberikan saya ilham tentang beberapa ciri yang boleh ditentukan oleh tetamu sebelum mendapat homestay pilihan yang menepati citarasa anda. Antara perkara yang anda perlu tentukan sebelum membuat keputusan untuk memilih mana-mana homestay adalah berdasarkan beberapa perkara asas yang berikut:

1) Tetapkan bajet anda.
2) Tempah awal untuk mengelakkan 'kesesakan' di saat akhir.
2) Pilih lokasi berdekatan tempat tujuan anda.
3) Tentukan bilaangan ahli keluarga yang turut serta secara tepat (bilangan kanak-kanak dan dewasa).
4) Hantar mesej kepada beberapa tuan punya homestay untuk pertimbangkan senarai harga.
5) Sekiranya berminat bertanya lanjut barulah menelefon.
6) Beritahu pemilik homestay samaada anda mengutamakan harga yang rendah atau  penginapan  yang lengkap (ini kerana keutamaan anda membolehkan pemilik homestay mencadangkan alternatif yang bertepatan dengan kehendak anda sekeluarga).
7) Ketahui jumlah maksimum dibenarkan untuk sesebuah homestay.
8) Kenalpasti kemudahan yang anda perlukan yang disediakan oleh tuan punya homestay.
9) Jika anda dikehendaki membuat deposit, pastikan jumlah yang perlu dibayar. Anda dinasihatkan membayar jumlah tertentu yang ditetapkan untuk deposit dan bukan bayaran penuh sebelum tiba hari penginapan.

Inilah antara tip-tip yang saya rasa dapat membantu anda di luar sana untuk memilih penginapan homestay yang menepati citarasa dan bajet anda. Yang penting anda tidak segan menyatakan kepada pemilik homestay apakah keutamaan anda kerana kebiasaannya kami pemilik homestay ada gabungan bersama pemilik-pemilik homestay yang lain. Jadi jika sebuah homestay agak mahal kerana rumah yang disediakan mempunya 4 bilik sedangkan keluarga anda hanya 5 orang, maka pemilik homestay tersebut mungkin boleh mencadangkan untuk anda rumah yang lebih kecil, mungkin dengan 2 bilik sahaja serta menepati perancangan bajet anda. 

Walau apa pun, kuncinya adalah perbincangan yang telus antara bakal tetamu dengan pemilik homestay berkenaan. Paling penting adalah penginapan yang disediakan menepati citarasa anda sekaligus manjadikan percutian anda sekeluarga sesuatu yang amat bermakna dan akan dikenang dalam lipatan memori yang indah selamanya.

Sekian, wassalam.



Sunday, October 5, 2014

Bagaimana Mudah Berbahasa Inggeris?

English Language 

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

'Susahnya belajar Bahasa Inggeris!'.

Ini antara kata-kata para pelajar saya sewaktu saya mula mengajar secara praktikum pada tahun 2006. Saya hanya tersenyum apabila mendengar mereka mengeluh sesama sendiri. Antara pertanyaan mereka kepada saya ialah, 'Teacher lahir di London ke?', 'Teacher makan belacan tak?', 'Keluarga teacher mesti semua 'speaking' kan di rumah?'. Sekali lagi saya tersenyum dengan pertanyaan pelajar-pelajar saya ketika itu. Namun kali ini senyuman saya semakin lebar menampakkan barisan gigi saya. Jawapan saya ketika itu mudah, saya katakan kepada mereka, saya minat membaca dan akan sentiasa mencari apa-apa bahan yang saya boleh baca pada setiap masa terluang. Saya tidak betah duduk tanpa melakukan apa-apa. Rasa kerugian jika tangan saya tidak memegang apa-apa bahan bacaan ketika waktu senggang saya. Tabiat yang saya dapat daripada emak dan ayah. Namun, mereka masih tidak berpuas hati, kata mereka kepada saya, masakan saya boleh memahami bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris jika benar cerita saya yang keluarga saya tidak berbahasa Inggeris dan kami tinggal di kampung. Pada mereka mustahil saya terus dapat memahami semua perkataan! Ya, memang para pelajar sukar mempercayai cerita dan latar belakang keluarga saya yang berasal dari kampung. Namun, saya tegaskan kepada mereka, saya bermula dengan sebuah kamus kecil yang ayah belikan semasa di darjah 1. Berbekalkan kamus yang saya sentiasa kelek ke mana-mana, saya akan membelek mencari maksud perkataan yang saya tidak fahami, walaupun saya terpaksa mencari satu demi satu perkataan yang saya baca!

Jadi, anda tentu tertanya-tanya, 'Bagaimana mudah kalau begitu? Nampak sangat susah kan?' Ini jawapan saya. Semasa saya bersekolah darjah 1, pada ketika itu tahun 1985. Keluarga saya bukanlah dari kalangan orang senang walaupun kami tidaklah terlalu susah hingga ke tahap tiada makanan. Namun, ayah saya menguruskan keluarga dengan berhemah, dibantu emak yang bijak mengatur urusan kewangan mengikut keutamaan. Kami tidak pernah kekurangan wang untuk membeli buku, namun saya tidak berpeluang menonton televisyen di rumah semasa kecil kerana pada ayah mebeli televisyen tidaklah sepenting menyediakan makanan kepada kami sekeluarga dan tidak juga sepenting memastikan kami adik-beradik mempunyai buku yang cukup untuk memudahkan pembelajaran. Jadi saya ada banyak buku untuk dibaca (kebanyakannya saya mendapat hadiah daripada guru-guru kerana saya rajin menyertai pertandingan di sekolah, serta daripada pusat sumber sekolah, disamping buku-buku tambahan yang ayah beli untuk saya).

Jadi waktu itu tiada rancangan di televisyen yang saya boleh tonton untuk meningkatkan penguasaan bahasa saya. Berbeza dengan zaman sekarang bukan? Anak saya belajar bahasa Inggeris pertamanya melalui saya, namun kemudian saya perkenalkan rancangan kartun televisyen berbahasa Inggeris dan saya tidak benarkan dia menukar alih bahasa kepada Bahasa Malaysia. Saya nampak ini sedikit sebanyak membantu penguasaan bahasa Inggeris anak saya.

Itu coretan peribadi saya belajar bahasa Inggeris. Sekarang mari kita lihat antara tip-tip yang praktikal yang saya sering terapkan kepada para pelajar saya selama lebih kurang hampir 10 tahun pembabitan saya dalam pengajaran Bahasa Inggeris di sekolah menengah. Antara tip-tip mudah belajar bahasa Inggeris ialah:

1) Set minda anda bahawa belajar bahasa baru (selain bahasa ibunda) adalah sesuatu yang tidak mustahil dan seronok.
2) Tentukan matlamat anda dengan jelas. Adakah anda belajar untuk melancong atau anda belajar untuk mengembangkan hobi atau anda belajar bahasa ini untuk peperiksaan.
3) Baca, baca dan baca. Perlu banyak membaca apa-apa sahaja bahan bacaan yang anda minati.
4) Baca bersama rakan dan sentiasa berbincang.
5) Jadikan kamus (buku atau elektronik) teman anda setiap masa kerana bahasa adalah sesuatu yang tidak statik dan sentiasa berkembang.
6) Buang sifat malu anda untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Ingat, ini bukan bahasa ibunda kita, jadi kesalahan semasa bercakap atau menulis bukanlah sesuatu yang kita patut berasa malu.
7) Pelbagaikan kaedah pembelajaran melalui pelbagai medium supaya anda tidak bosan. Antaranya melalui lirik lagu dan menonton filem Inggeris kesukaan anda.

Sekian untuk kali ini. Akan datang, saya akan teruskan dengan tip-tip menjawab Kertas Bahasa Inggeris bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Sehingga itu, selamat belajar Bahasa Inggeris!

Saturday, October 4, 2014

Apabila Masa Terlalu Cemburukan Kita




The How To’s Of Time Management & Life Efficiency 


Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google

'Masa itu seperti mata pedang'.

Saya pernah mendengar kata-kata hikmat ini namun sudah kelabu tentang siapa yang mengatakannya. Mungkin ini tandanya saya perlu meningkatkan pembacaan saya disamping novel yang menjadi teman akrab saya. Bukan saya tidak membaca buku ilmiah, bahkan antara koleksi bahan bacaan saya adalah buku berkaitan biagrafi tokoh-tokoh yang saya kagumi pencapaian mereka, antaranya bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad (A Doctor in The House) dan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong (Inilah Cerita Saya). 

Menyorot kisah-kisah tersohor ini, saya seakan bangkit dari lena yang panjang serta mimpi yang tidak membawa saya ke arah mencapai sesuatu yang realiti. Membaca kisah Tun Mahathir yang saya amat kagumi pemikiran beliau hingga sekarang, saya amat teruja ingin menjadi seperti beliau. Minat membaca beliau ,menyuntik semangat saya untuk lebih meluangkan masa menambahkan 'masa' saya membaca bahan-bahan ilmiah. Semangat beliau yang amat kental sejak kecil amat saya kagumi kerana beliau datang dari keluarga yang susah, begitu juga saya semasa kecil. Mungkin tidak terlalu susah namun, membaca kisah beliau seolah-olah saya sedang meletakkan diri saya di situ. Ada satu ketika beliau menyebutkan tentang dirinya yang mengambil bidang kedoktoran yang tidak sama dengan perdana menteri terdahulu yang kesemuanya lulusan undang-undang. Beliau merasa seolah-olah 'rendah diri' kerana merasakan 'tidak setaraf' dengan mereka yang lahir dari jurusan undang-undang. Namun itulah Tun Mahathir, semangat kentalnya tidak pernah pudar kerana akhirnya beliau menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia disamping membawa perubahan positif yang bukan sedikit serta bukan calang-calang orang dapat mencapai. Itulah Tun Mahathir yang saya kagumi.

Menyorot kisah mendiang Tan Sri Lim, saya bertambahn kagum kerana Genting Highlands yang amat popular dan berjaya pada hari ini adalah hasil usaha beliau yang bermula semasa beliau berumur lingkungan 60-70 tahun! Amat mengagumkan bukan? Salah satu tip yang saya dapati amat berguna daripada buku beliau adalah, beliau menyatakan, ke mana-mana beliau pergi, mesti ada satu buku catatan kecil serta sebatang pen di dalam poket beliau. Tujuannya adalah untuk mencatat apa-apa sahaja idea yang terlintas di dalam fikiran beliau. Satu idea yang amat bermanfaat yang saya telah praktikkan dan cuba menjadikannya amalan yang konsisten. Daripada pembacaan ini juga, saya mendapat satu semangat di mana, saya tanamkan dalam fikiran saya, jika kita ingin memulakan sesuatu yang baru dalam hidup kita, tiada langsung istilah 'terlambat'. Sebagaimana beliau memulakan empayarnya yang tersohor di kala usia 'hampir senja'.

Jadi, marilah kita sentiasa menggamit aura positif dalam diri dengan menambahkan bahan bacaan ilmiah yang kita baca, kerana masa itu adalah seperti mata pedang yang akan 'memotong' kita jika kita tidak mendahuluinya! Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda yang setia membaca catatan saya yang biasa-biasa ini. Sekian, sampai jumpa lagi!



 

Friday, October 3, 2014

Tip Kembara Bersama Anak Kecil


Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Koleksi Peribadi

Cuti sekolah! Ya, inilah masa yang amat saya nantikan setiap kali. Bermula awal tahun baru, saya akan sibuk membelek kalendar, kemudian menanda tarikh-tarikh cuti sekolah sehingga hujung tahun. Kenapa ya? Ini disebabkan kesibukan kerja suami saya yang tidak mungkin dapat bercuti pada hari cuti umum. Jadi, fokus saya adalah pada cuti sekolah kerana suami mudah mendapat cuti pada hari-hari Isnin hingga Jumaat. Alangkah terujanya bila dapat bercuti, kan?

Destinasi pertama saya ke luar negara selepas 'berdua' adalah percutian 4 hari 3 malam ke Jakarta dan Bandung, Indonesia. Perasaan saya bercampur-baur ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Jabatan Imigresen Seberang Jaya bagi urusan passport saya. Ketika itu anak saya masih kecil, berumur 1 tahun 8 bulan. Betapa terujanya saya ketika itu sehinggakan seingat saya, saya tersenyum dari mula masuk ke pejabat Imigresen hinggalah selesai semuanya. Haha, lucu juga jika diingatkan.

Akhirnya sampailah masa yang dinantikan apabila kami sekeluarga sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Walaupun ini bukanlah kali pertama saya menaiki kapal terbang, namun perasaan teruja ke luar negara sehingga saya merasakan seolah-olah saya melayang-layang ke udara. Saya tergelak sendirian mengenangkan saat itu. Walau bagaimanapun, ini tetap merupakan pengalaman pertama saya menaiki penerbangan Air Asia kerana sebelum ini sebagai pelajar saya hanya 'percaya' kepada MAS. Hmm, mungkin kerana dahulu saya mendapat harga separuh tambang kerana gelaran saya sebagai pelajar.

Disebabkan perjalanan ini akan memakan masa yang agak lama, iaitu lebih kurang 45 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dicampur masa menunggu untuk penerbangan seterusnya dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta yang akan mengambil masa lebih kurang 2 jam, saya telah membuat tpersediaan yang amat rapi memandangkan anak perempuan saya masih kecil ketika itu.

Jadi antara persediaan saya adalah:
 
1) Memastikan hanya 1 bagasi besar beroda untuk kami 3 sekeluarga (memudahkan pergerakan kerana suami harus mengendong anak kecil saya, Khyra).
2) Beg galas yang dibawa suami hanya untuk bekalan Khyra dalam perjalanan, iaitu lampin pakai buang, susu dan termos air, alatan membasuh botol, sepersalinan baju dan seluar bayi, buku atau mainan kecil (jika anak menangis, lebih senang dipujuk jika ada permainan atau buku yang disukainya), serta beg plastik (untuk mengisi baju yang telah dipakai).
3) Memastikan beg sandang saya bersaiz sederhana besar bagi mengisi passport serta dokumen-dokumen penting supaya keadaan tidak kelam-kabut jika hanya suami saya seorang yang membawa semua barangan serta dokumen.
4) Membawa botol air kosong di dalam beg sandang untuk diisi setelah melepasi pemeriksaan imigresen.
5) Memakai tali pinggang kain (bagi perempuan) kerana jika menggunakan tali pinggang berkepala besi, akan berlaku sedikit kesulitan kerana disamping mengendong anak kecil, terpaksa membuka dan memakai kembali tali pinggang semasa pemeriksaan.
6) Memakai kasut yang selesa daan tidak bertumit (ini pengalaman saya membawa anak kecil ke beberapa destinasi percutian) untuk memudahkan kawalan si kecil.
7) Bagi bayi di bawah dua tahun, dinasihatkan ibu bapa membawa kain khas untuk mengendong si kecil agar sentiasa selesa dalam perjalanan (membawa stroller tidak berapa digalakkan kerana agak susah untuk dikendalikan).

Itulah antara apa yang saya buat untuk memastikan percutian sekeluarga berjalan lancar seperti yang dirancang. Ingat, setiap percutian bersama anak kecil, haruslah diambil kira keselesaan anak juga. Kadang-kadang kita terlalu teruja merancang percutian yang hanya padat dengan aktiviti yang hanya sesuai untuk orang dewasa seperti membeli-belah. Bagi anak kecil, seketika di tempat atau padang permainan atau dibiarkan mandi laut atau kolam walau hanya untuk jangkamasa yang pendek, itu amat bermakna bagi mereka. Jadi, dengan beberapa perkara ini diambilkira dalam perancangan percutian kita, semoga semuanya akan berjalan lancar seperti dirancang. Perkara yang kita anggap remeh seperti memilih bilik hotel yang dilengkapi tab mandi kecil untuk anak-anak, hotel yang ada kemudahan kolam, atau berdekatan pantai, boleh menjadikan percutian kita sekeluarga termasuk anak kecil sesuatu yang amat mngujakan dan menyeronokkan atau sebaliknya. Moga dengan perkongsian pengalaman yang tidak sebarapa ini dapat membantu ibu bapa yang bercuti bersama anak-anak terutama si kecil. Catatan perjalanan saya ini akan saya sambung dalam entri yang seterusnya. Saya akan bercerita tentang pengalaman saya di Jakarta/Bandung yang membuatkan saya hampir menangis dan sebak setiap kali teringatkan Malaysia.

Sehingga berjumpa lagi di lain catatan, diharapkan moga coretan saya yang tidak seberapa ini dapat membantu sedikit sebanyak kalian yang ingin mengembara bersama anak kecil, sekaligus menjadikan percutian kalian antara kenangan terindah dalam hidup dana memberi makna yang mendalam dalam hidup yang amat mencabar namun penuh dengan bunga-bunga kebahagiaan ini.

Salam ceria, assalamualaikum.