Saturday, April 25, 2015

Bahagian A Kertas 2 Bahasa Inggeris SPM

Teks: Rozanah Zakaria

Ini nota saya semasa bertindak sebagai fasilitator untuk ceramah teknik menjawab Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pendang Lake Resort baru-baru ini.

'Section A'

Ada 15 soalan aneka pilihan. Jumlah kesemua 15 markah. Cara jawab bahagian ini? Ikuti langkah dibawah:

1) Baca soalan dahulu. Kemudian baca / teliti stimulus yang diberi. Cari kata kunci atau 'keyword'.

2) Guna kaedah hapus atau 'elimination method'. Pangkah jawapan yang nyata memang salah. Kemudian pilih jawapan yang paling tepat.

3) Jika anda dapati sesuatu soalan terlalu susah, jangan buang masa. Teruskan ke soalan lain dahulu. Kembali ke soalan itu kemudiannya.

4) Soalan 9-15 memerlukan asas tatabahasa atau 'grammar' yang kukuh. Jadi, pastikan anda buat sebanyak mungkin soalan grammar (dapatkan soalan daripada guru anda. Tanya guru anda bahagian mana dalam pelajaran grammar yang patut anda beri lebih tumpuan).

5) Akhir sekali, tandakan jawapan anda (hitamkan menggunakan pensel 2B sahaja - di bahagian paling belakang kertas soalan.

Selamat menjawab!

Wassalam.

Monday, April 20, 2015

Penat!

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam. Penat, memang penat. Tidak cukup tidur. Kerja usah cakaplah, tidak menang tangan.

Terasa ingin keluarkan duit simpanan dan 'beli' masa tambahan untuk diri sendiri sejam sehari. Fuh! Kalaulah saya boleh buat begitu. 😊

Bila begini baru terasa betapa amat bermakma masa yang berlalu. Bukan tidak sedar sebelum ini, tetapi leka. Ya, saya leka. Masa senggang yang terlalu santai tanpa berbuat apa-apa.

Apabila dikenangkan, tatkala saya kelam-kabut, saya akan teringat masa yang panjang tanpa saya berbuat sesuatu yang betul-betul bermanfaat.

Hmm. Menyesal kemudian. Bukan tiada gunanya ye, asalkan kita cepat sedar dan 'bangkit dari tidur'!

Jom, amalkan tabiat 'buat sekarang' atau 'do it now'! Kita tidak tahu jika peluang di depan mata akan datang pada ketika yang berikutnya.

Rebut apa yang di depan mata, asalkan halal.

Wassalam. Sayonara!

Saturday, April 18, 2015

'Reunion'

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam. Seronoknya 'reunion'! Pertemuan semula rakan-rakan sekolah setelah 20 tahun!

Wow, memang sangat mengujakan. Selama dua jam setengah, semua tidak berhenti bercakap. Haha. Macam-macam cerita 20 tahun diimbas semula.

Memang sangat tidak dijangka, selepas komunikasi santai, impian kami untuk bertemu jadi kenyataan. Saya rasa senyuman saya sampai ke telinga dari awal sehingga tamat pertemuan kami. Hehe.

Sungguh, hujung minggu saya kali ini amat bermakna. Memandu sejauh lebih 100 kilometer dari Sungai Dua ternyata sangat berbaloi. Saya sangat gembira. Betul-betul seolah-olah mimpi jadi kenyataan!

Saya jumpa Liza, K Long, Miss J, Ina, Zana dan Ada. Beberapa orang bawa bersama anak-anak mereka yang comel. Saya tiba-tiba mendapat 'teman lelaki' kecil dan comel yang rupanya suka 'selfie' seperti saya. Comel sungguh Adik kecik yang hensem. Secara 'adhock' atau tiba-tiba saya dapat 'teman lelaki selfie'. Haha.

Semoga lebih banyak pertemuan-pertemuam sebegini selepas ini. Sesungguhnya hilang penat saya berkejar ke sana ke mari dek kesibukan kerja beberapa minggu lepas!

Moga kalian semua dilimpahi rahmatNya sahabat-sahabatku.

Wassalam.

Wednesday, April 15, 2015

Semangat anak didik pembakar semangat.

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria (foto koleksi pelajar drama)

Salam. Masih ingat catatan saya bertajuk 'Asalkan kita suka apa kita buat'? Jika belum baca, klik di sini.

Pertandingan drama ko akademik sudah berakhir. Lega satu hal. Walau anak didik tidak berjaya menggondol sebarang hadiah, saya amat bangga dengan semangat mereka. Untuk kesekian kali, saya hampir menitiskan airmata melihat kesungguhan mereka.

Di hari pertandingan, saya berasa amat tenang di tengah-tengah hiruk-pikuk orang ramai. Melihat Anis gigih menata mekap anak-anak ini, saya senyum sendiri. Saya tinggalkan mereka di bilik persalinan. Saya duduk di kerusi peserta sendirian. Lambat lagi menunggu acara bermula.

Sekembali para pelajar saya di kerusi peserta, saya nampak riak mereka yang gusar. Tika itu, tidak putus-putus kata semangat saya titipkan buat mereka. Ibarat, saya telah bekalkan meraeka dengan pendayung dan sampan, hari ini tiba masa untuk mereka sendirian, memgemudi tanpa saya turut serta di dalam sampan itu.

Saya ada segunung kepercayaan yang telah saya tanamkan dalam diri mereka. Saya percaya mereka boleh. Saya beritahu mereka yang saya percaya itu. Beberapa orang memberikan reaksi positif kepada komen saya. Selebihnya saya lihat cuba menenangkan diri. Saya faham. Saya beri ruang untuk mereka.

Pertandingan bermula. Debaran memuncak. Tiba giliran ke-4, saya duduk sambil berpeluk tubuh. Hanya ingin melihat dari jauh. Alhamdulillah, tidak sia-sia kepercayaan yang saya berikan. Mereka berjaya menguruskan semuanya sendiri. Amin. Bergenang lagi airmata saya.

Huh, cengeng sungguh rasanya saya hari Sabtu itu. Tanpa segan saya menekap airmata yang mengalir tanpa sedar. Selesai persembahan mereka, saya lega. Apa pun keputusannya nanti, saya redha. Saya sudah buat yang terbaik. Anak-anak saya juga sudah buat yang terbaik. Apatah lagi, skrip drama tahun ini, mereka kembangkan sendiri. Walau saya kemukakan idea asal, namun mereka bersama-sama dalam satu pasukan mengemukakan idea masing-masing.

Saya bangga dengan anak-anak ini. Mereka hanya sekolah 'kampung', belajar dengan guru yang 'biasa-biasa' seperti saya, namun semangat yang mereka tunjukkan amat luar biasa! Tahniah anak-anak didikku, sesungguhnya saya bangga menjadi guru kepada kamu semua. Semangat saya yang hampir hilang ketika itu, kamu tiupkan kembali ke dalam diri ini. Saya sayang kamu semua!

Wassalam.


Monday, April 13, 2015

GST.

Teks: Rozanah Zakaria

'G' untuk apa? Garang? 'ST' pula? Kalau istilah saya, 'stress'! Saya memang garang apabila tertekan. Hmm. Saya bukan hendak bercakap tentang GST sebenarnya. Saya mahu bicara tentang saya. Ya, saya! 😊.

Akhir-akhir ini saya agak tertekan. Entah mengapa? Hmm, saya tahu mengapa sebenarnya. Saya sangat sibuk, ke hulu ke hilir. Memang terasa sangat penat. Fuh! Masuk kerja 7.30 pagi, biasanya saya sampai rumah petangnya pada jam 6, paling awal. Memang tekanan yang amat sangat!

Ada ketika terasa seperti ingin mengalah. Namun, semangat suami menjadi nadi penggerak saya. Suami saya keluar bekerja lebih kurang 7.30 pagi. Namun biasanya dia akan sampai di rumah sekitar jam 8.30-9.00 malam. Jika dihitung, saya fikir, sepatutnya suami lagi berasa penat berbanding saya.

Namun, apa yang saya lihat. Adakala saya dan si kecil diajak keluar pula. Apabila difikirkan, saya tiba-tiba mendapat semangat luar biasa daripada suami saya. Yelah, masa bekerjanya lebih panjang dari saya. Tetapi dia jarang menunjukkan riak letih seperti saya.

Jadi saya kira, saya tidak patut langsung memikirkan tentang putus asa! Ya, saya patut ambil semangatnya!

Jadi, inilah saya, mengambil semangat dari suami yang tiada di sisi ketika ini, kerana dia berkursus. Namun, saya gigih menukil catatan ini lewat malam. Kerana apa? Kerana hari ini saya bercuti hujung minggu. Jadi tidak sepatutnya saya berasa lemah. Saya sudah mendapat rehat secukupnya sepanjang hari. Jadi saya masih sepatutnya bertenaga menyiapkan apa-apa kerja tertangguh!

Ayuh! Hadapi esok dengan semangat baru, walau pasukan drama sekolah saya hanya berjaya menggenggam sahuhati. Tidak mengapa, tahun depan ada lagi.

Jom semangat! Wassalam.

Tuesday, April 7, 2015

Asalkan kita suka apa kita buat.

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam. Akhir-akhir ini saya sangat sibuk. Yes, I'm super duper busy! Fuh, cabaran betul hendak mengurus masa dengan tenaga yang terhad yang saya ada.

Ada orang pernah bertanya, "Sibuk apa ye dengan pelajar tingkatan 5. Sibuk betul ye sampai tak sempat nak ambil tahu hal-hal lain (merujuk kepada satu program yang tidak sempat saya pantau dek kesibukan mengurus dan menekuni program pelajar tingkatan 5 bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia ketika itu)?" Ayatnya lebih kurang begitu. Disampaikan dalam nada yang amat sinis.

Hati saya terguris, teramat sangat. Walau agak mengambil masa selepas itu untuk melupakan, saya tetap gigih. Saya buat tidak peduli. Saya keraskan hati. Namun saya tetap memaafkan cikgu muda tersebut.

Terfikir juga saya, ketika itu terasa amat sedih dengan kata-kata seorang junior. Mungkinkah sikap kebanyakan geberasi muda sekarang begitu? Tidak. Saya percaya tidak semua begitu. Namun, saya juga percaya yang kita patut memghormati semua orang tidak kira lebih tua atau lebih muda. Akhlak yang baik adalah cermin peribadi mulia.

Berbalik kepada cerita saya yang terlalu sibuk sekarang. Setiap hari, ke sekolah jam 7.15, balik dari sekolah jam 6.15. Lebih kurang 11 jam saya 'bertapa' di sekolah. Fuh! Kalau hendak dicongak, memang sangat letih. Namun saya bertahan kerana semangat para pelajar saya!

Saya melatih pasukan drama sekolah tahun ini. Saya seorang sepenuhnya. Untungnya dua orang guru praktikal, Anis dan Izzati sudi membantu saya. Syukur tidak terkira. Pelajar pula? Ya Allah, hampir menitis airmata saya dengan semangat mereka! Sesungguhnya saya bertahan sehingga petang setiap hari di sekolah dek semangat mereka yang luar biasa!

Hendak tahu kisah semangat mereka yang membara? Ikuti catatan saya di entri akan datang.

Moga 'jumpa' lagi. Wassalam.

Saturday, April 4, 2015

Kenapa saya hantar anak ke kelas renang?

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam. Ini jawapan saya:

1) Saya mahu latih daya tumpuannya.

2) Juga membantu koordinasi kaki dan tangan.

3) Melatih self-confidence.

4) Saya dapat meluangkan lebih masa berkualiti dengan anak saya.

5) Saya dapat kawan baru.

6) Saya dapat masa 'bertenang' di tengah-tengah kesibukan melampau.

7) Saya dapat menambah ilmu baru - membaca buku, pemerhatian latihan kelas renang.

Kesimpulannya?

Saya percaya, apabila kita terasa kita tidak cukup masa, buat sesuatu tentang itu. Buat apa? Ya, 'cipta' masa. Bagaimana?

#1 Tentukan apa yang ingin dibuat.
#2 Tetapkan matlamat (secara khusus, detail).
#3 Bina kumpulan sokongan (atau cari kumpulan sokongan).
#4 Disiplin. Ikuti setiap perincian perancangan.
#5 Enjoy yourself doing what you love!

Apalagi, buatlah sekarang! Saya sudah, anda bila lagi?

Hidup saya sekarang? Saya percaya, saya ada 10% extra time untuk diluangkan bersama anak saya, tidak kira betapa sibuknya saya. (Ikut suka sayalah ye hendak letak berapa persen pun, ini hidup saya, bukan?😆).

Ya, tidak perlu jadi eksekutif korporat untuk jadi sangat sibuk, okey! Jadi guru sudah cukup! Faham maksud saya? 😊. Jadi, atur, 'cipta' masa anda!

Wassalam. Jom, live in the moment!

Friday, April 3, 2015

Hidup biar bermanfaat

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam. Hidup biar memberi manfaat. Walau kecil, mahupun besar, biarlah ada manfaat. Tidak kira kepada siapa. Yang paling penting manfaat kepada diri dulu. Kemudian, bila diri sejahtera, moga-moga manfaatnya akan tersebar kepada orang di sekeliling kita.

Apa boleh dibuat agar manfaat tersebar? Jom cuba beberapa langkah yang saya kutip dari sifu-sifu terkenal dan berjaya, yang saya sentiasa ikuti catatan fb mereka yang sangat bermanfaat. Mereka adalah 'mentor' saya. Mereka ini adalah Dr Irfan Khairi, Prof Dr Muhaya dan Dr Azizan Osman.

Selain mereka, saya juga diberi bimbingan berterusan oleh sifu cikgu Anys Idayu Zakaria. Terima kasih cikgu yang sentiasa menitipkan kata-kata semangat kepada kami di kelas blogging ABDR (Akademi Bekerja Dari Rumah) beliau.

Walau tidak kesemuanya, sebahagiannya alhamdulillah berjaya saya amalkan, walau sedikit.

#1 Sentiasa fokus jalan penyelesaian. Bukan fokus masalah.

#2 Sentiasa fikir luar biasa.

#3 Konsisten lakukan sesuatu walau amat kecil.

#4 Mulakan sesuatu segera. Jangan bertangguh. Langkah pertama sangat penting.

#5 Buat sesuatu dalam redha ibu bapa. Ingat, kejayaan akan jadi 'liat' sampai kepada kita andai tiada redha ibu bapa. Jangan biar mereka tertunggu-tunggu panggilan atau kepulangan kita.

#6 Sentiasa cari jalan untuk brsedekah setiap hari. Mulakan dengan jumlah kecil, tetapi konsisten setiap hari.

#7 Senyum. Senyum. Senyum.

Moga kita sentiasa jadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain.

Wassalam.