Kenapa belajar bahasa baru, terutamanya Bahasa Inggeris dipanggil bahasa asing? Ya, kerana kita tidak membesar dengan bahasa ini, jadi ia menjadi sesuatu yang asing bagi kita, bukan?
Namun begitu, dalam hidup ini, untuk menjadi seorang yang berjaya dan sentiasa maju ke hadapan, kita mesti sentiasa belajar sesuatu yang baru, bukan? Jadi, mengapa selalunya pelajar takut mempelajari Bahasa Inggeris? Hanya kerana ia bukan bahasa ibunda, pelajar-pelajar merasakan ianya sesuatu yang amat susah. Mahu tahu pengalaman saya belajar Bahasa Inggeris? Jom baca di bawah! 🤩
Sejak kecil, saya sering dihidangkan dengan bahan bacaan. Ayah emak rajin membaca. Ayah tidak pernah lekang dengan akhbar di tangan saat senggang; manakala ibu pula sering membaca majalah kewanitaan serta resipi-resipi terkini yang sering direalisasikan untuk kami adik-beradik. Saya pula, hadiah dari guru-guru untuk setiap pertandingan adalah buku. Manakala ayah yang terkenal sebagai seorang yang sangat berhemah dalam perbelanjaan keluarga, sering mengutamakan perbelanjaan untuk buku-buku kami adik-beradik.
Bagaimana saya belajar Bahasa Inggeris dalam suasana kampung di mana semua orang berbahasa ibunda dengan saya, kecuali guru Bahasa Inggeris?
Pertama: kamus adalah teman setia saya yang saya bawa ke mana-mana kecuali masa bermain dengan kawan-kawan.
Kedua: saya akan pastikan saya faham setiap perkataan yang saya baca dalam Bahasa Inggeris, dengan sentiasa merujuk kamus. (Bila faham, kita akan seronok untuk terus belajar, bukan?)
Ketiga: kata-kata semangat ayah yang sentiasa menanamkam dalam fikiran saya bahawa: ‘tiada jalan mudah untuk berjaya dan tiada apa yang mustahil untuk kita capai asalkan kita gigih berusaha!’
Kesimpulannya, jika anda masih fikir bahawa untuk mula belajar bahasa asing adalah sesuatu yang amat sukar, jom tanamkan dalam fikiran anda, ‘jika tiada kali pertama, masakan dapat kali kedua.’ (Kata-kata ini saya pinjam dari seorang yang saya baru kenali tetapi amat saya hormati dan segani, Puan Goi Goit Sim).
Jom belajar Bahasa Inggeris kerana ianya mudah dan seronok!