Tuesday, December 12, 2017

Sedar

Teks: Rozanah Zakaria

Hari ini aku sedar.
Betapa kuasa fikir itu melangkaui batasan hati.
Betapa kuasa fikir itu bakal mendamai atau sebaliknya.
Betapa semua kejadian sudah ditentukan hikmahnya; hanya tinggal kita mencorak damai.

Aku mohon kekhilafanku dipadam, 
Aku tahu tiada mungkin kuundur waktu.

Cuma aku mahu kau tahu. 
Di sudut hati ini, kau masih sahabatku.
Sampai bila-bila.

~Nukilan subuh~

Belajar dari kesilapan

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria


Kita semua lakukan kesilapan.
Kau, aku, dia dan mereka.
Semua pasti ada buat silap.

Lantas, mengapa sukar benar kau mahu lafazkan kemaafan?
Mengapa kau pilih kesumat itu untuk kau genggam?
Mengapa kau pilih hitam itu dari putih yang menenangkan?

Kerna tatkala itu, kau hanya nampak titik hitam itu padaku.
Sudah tidak bermakna kanvas putih yang melatari titik kerdil itu.
Apakan daya, andai itu mahumu.
Aku bukan siapa-siapa mahu mengubah fikirmu.

Namun, kupinta secebis rasa, andai kau pernah sedar bahawa aku pernah disitu.
Aku pernah singgah walau sebentar di laluan hidupmu.
Aku pernah bermakna di sudut kecil dirimu.
Andai kau masih ingat itu.

Aku yakin, suatu hari Tuhan bakal tunjukkan kita,
bahawa suatu detik kehidupan itu,
antara kau dan aku,
tidak pernah Dia hadirkan untuk kita sia-sia.

Aku percaya itu.

Sampai saat itu, ketahui aku sentiasa maafkan kamu.
Dan kupinta kau ada sedikit rasa memaafkan aku.
Walau di hati kecil aku masih tertanya apa khilafku.
Aku percaya Tuhan tahu segalanya,
dan kau akan tahu jua andai Dia izinkan ukhuwwah kita ini berkekalan ke JannahNya.

Namun, andai takdir itu terhenti di sini,
aku mahu kau tahu,
aku tak pernah ada dendam atau keliru tentang dirimu.

Walau hanya hitam dan kelabu yang mereka cerca tentangmu,
aku tetap nampak yang putih itu dihatimu.

Semoga Tuhan sentiasa memberkatimu, kawanku.

Pernah rasa sedih?

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria


Aku pasti, ramai yang pernah merasai begini, bukan?
Apa kau buat bila kau sedih?
Kau 'retaliate'? Atau kau diam biar diri kau diperkotak-katikkan?
Atau kau pergi satu tempat yang hanya kau dan Penciptamu ada di situ?
Atau, atau dan atau.

Apa kau buat?
Apa perlu kau buat?
Jika kau tanya aku, aku sering memilih berdiam.
Paling teruk aku menangis sendiri.

Tapi,
acapkali aku menangis dan berfikir;
pasti ada sesuatu Tuhan ingin sampaikan pada aku tatkala aku bersedih.
Mungkin aku semakin jauh dariNya jadi Dia mahu aku 'kembali'.

Mungkin, mungkin dan mungkin.
Aku semakin jauh dariNya sedang Dia sentiasa ada disisi aku.
Aku banyak berdosa Tuhan,
mungkin ini titik aku kembali padaMu.

Ameen.