Thursday, November 29, 2018

Cuti sekolah

Teks: Teacher Rozanne

Cuti sekolah sudah bermula sejak 24 November yang lalu.

Apa yang anda ibu bapa, rancangkan untuk anak-anak bagi memenuhi ruang cuti mereka selama lebih kurang sebulan ini?

Sebaiknya kita sebagai ibu bapa libatkan anak-anak semasa merancang apa sahaja aktiviti untuk seisi keluarga. Percaya atau tidak, apabila anak-anak dilibatkan dan diberi sedikit autonomi untuk merangka aktiviti seharian mereka, kita tidak akan dapat menjangka daya imaginasi mereka yang kadangkala melebihi apa yang kita fikir mereka mampu.

Sebagai contoh, jika anak anda yang berumur dalam lingkungan 8-11 tahun mengutarakan keinginan mereka untuk membina aplikasi bagi telefon bimbit atau aplikasi permainan, apa kata anda cari di mana anak anda boleh belajar ilmu yang berkaitan. Saya kira, ini adalah lebih baik daripada kita yang menetapkan kesemua aktiviti tanpa mengambil kira pandangan mereka, bukan?

Ini hanyalah salah satu contoh yang saya ambil daripada adik saya yang meraikan pendapat dan minat anak-anaknya lalu mendorong mereka dengan tindakan yang positif serta proaktif sebegini. Apa pun minat anak anda, selagi ia sesuatu yang bermanfaat dan baik, saya fikir, tidak salah kita hormati minat mereka itu dan beri dorongan kepada mereka dalam kapasiti yang kita mampu.

Apa pun, jom sama-sama kita ambil peluang cuti sekolah yang panjang ini, untuk lebih 'mengenali' anak-anak kita. Walaupun kebanyakan dari kita bekerja dan tidak bercuti panjang seperti anak-anak, mengambil peluang untuk meluangkan lebih masa dengan anak-anak di waktu mereka bercuti pasti sangat dihargai mereka. Percayalah, apabila anak-anak rasa dihargai, tugas kita sebagai ibu dan ayah akan menjadi bertambah ringan kerana apabila anak-anak merasakan ibubapa sentiasa peka dengan keperluan mereka, mereka akan lebih mudah mendengar kata kita sebagai ibu bapa, kerana mereka rasa dihargai.

Selamat bercuti bersama keluarga!
Enjoy your holidays!

Regards,
Teacher Rozanne