Wednesday, July 22, 2015

Fikir dulu kawan.

Teks: Rozanah Zakaria

Kadangkala kita terlalu teruja.

Satu dunia hendak diberita tentang kelebihan kita.

Kita rasa,
apa salahnya berkongsi kelebihan yang kita ada.
Namun, fikirkan juga;
Kadangkala ada yang tersentak dengan keterlaluan kita.

Umum satu dunia kita sudah beranak lima.
Walhal ada di sana yang menunggu lama bermuram durja, tiada walau seorang waris jua.

War-war seantero Malaya kita sudah tukar kereta.
Walhal, ada di sana runsing kepala, mahu hantar anak ke hospital bagaimana, merenung satu-satunya yang tersadai si motosikal tua.

Gah mengkhabarkan berita kita mahu beli itu ini kerana kita mampu.
Walhal ada di sebalik tabir sana, yang mengira setiap sen yang tidak kecukupan  walau untuk susu si kecil kelaparan.

Tiada salah mengkhabar hal gembira. Tiada salah juga kerana boleh memberi semangat untuk yang mahu berjaya.

Namun jika sudah keterlaluan, acapkali hanya cerita kita dicanang satu semesta.

Berhenti sejenak.

Fikirkan dulu.

Mungkin keterlaluan kita itu, menambah duka dan lara, bagi mereka yang hanya mampu menggapai bintang di alam mimpi.

Mungkin keterlaluan kita itu, bakal mengundang duka berpanjangan si dia di seberang sana.

Ayuh, fikirkan dulu.

Kita semua tidak sama. Ada hikmah disebaliknya jika akal gigih mencerna.

Fikirkan dulu kawanku.

Nukilan jiwa di senjakala.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment