Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Carian Google
Benarlah kata-kata pengalaman mematangkan kita.
Pengalaman saya sejak kecil dengan dunia perniagaan bagaikan isi dengan kuku. Kenapa begitu? Seingat saya, sejak ibubapa saya berkahwin (menurut cerita ibu saya), ayah membuat pelbagai pekerjaan atau istilah Bahasa Inggeris 'odd jobs'. Di samping mengerjakan tanah bendang yang tidak seberapa, ayah menjual ikan menggunakan vespa beliau. Saya masih ingat jika tiada tong ikan di belakang, saya sangat gembira dapat membonceng vespa 'second hand' ayah.
Betapa pengalaman yang amat bermakna jika diimbas kembali. Selain itu, ayah juga pernah berniaga kedai runcit (jika boleh dipanggil kedai, kerana saiznya yang sangat kecil). Seingat saya, sayalah orang yang paling gembira jika dapat menolong emak berjualan di kedai. Ketika itu, saya masih kecil, jika tidak silap perkiraan berumur 5 tahun kerana saya mula mengaji al-Quran ketika umur 6 tahun. Saya ketika itu selalu memakai t-shirt dan seluar pendek kesukaan berwarna coklat. Malu juga saat membelek foto lama saya tidak berbaju (semasa umur 6 tahun) berseluar coklat pendek, dengan kulit agak gelap.
Berbalik cerita di kedai ayah, kesukaan saya adalah mee kuning. Sejak kecil saya memang sukakan mee. Nak dijadikan cerita, setiap kali membantu emak, saya akan melutut atas kerusi berhadapan kaunter mee kuning. Setiap kali emak tidak melihat, saya akan tarik seurat mee untuk dimakan. Namun saya silap perkiraan, beberapa kali saya ingat saya terlepas, rupanya emak memerhatikan saya. Apalagi, berseluar pendek memudahkan emak 'menghadiahkan' saya cubitan maut. Setiap kali itu juga, saya akan beralasan mengajak adik main masak-masak di belakang kedai (di tepi sungai) supaya kemarahan emak reda. Namun acapkali perkara yang sama saya ulang. Kadang-kadang saya fikir emak letih dengan sikap nakal saya, emak hanya menjegilkan mata. Ketika itu saya mengurut dada lega kerana terlepas penangan cubitan berbisa emak.
Perjalanan saya dengan dunia perniagaan tidak pernah terhenti. Sejak saya mula mengaji Muqaddam di madrasah di kampung saya, emak rajin membuat kacang kuda pedas untuk saya jual di tempat mengaji. Mungkin minat ayah dan emak dalam berniaga turun sepenuhnya kepada saya. Saya tiada langsung rasa malu untuk berjualan secara kecil-kecilan kepada kawan-kawan di tempat mengaji. Saya masih ingat, kacang kuda yang saya bawa tidak pernah cukup dan akan sentiasa ada 'repeat order'. Tambahan pula setiap kali jualan habis, emak akan beri saya komisen. Alangkah seronoknya!
Seterusnya, saya 'dinaikkan pangkat' pembantu berjualan emak dengan membawa kuih tepung talam (selalu disebut kuih talam) untuk diletak di kedai dalam perjalanan saya ke sekolah setiap pagi. Manakala setiap tengahari, saya akan 'mengutip' duit jualan dan semestinya saya tertunggu-tunggu komisen yang 'lumayan' dari emak. Yalah, zaman saya bersekolah rendah dahulu pada tahun 80-an, 30 sen amat besar ertinya kerana saya boleh membeli sepinggan mee goreng, segelas sirap dan bakinya 10 sen saya akan tabungkan. Wah! bila diimbas kembali, sejak kecil saya berangan ingin jadi jutawan setiap kali memasukkan syiling ke dalam tabung. Angan-angan yang masih relevan kepada saya sehingga kini!
'Bakat' berjualan saya tidak terhenti di situ, saya juga membantu emak menjual belacan. Secara umumnya, saya waktu itu adalah 'pembantu jualan' rasmi emak. Setiap petang hari minggu di mana saya tiada kelas mengaji, saya akan mengayuh basikal mini merah hati kesayangan, dengan membawa ketulan-ketulan kecil belacan yang dibungkus rapi emak untuk jualan. Kerapkali saya 'terpaksa' membawa satu-satunya adik lelaki saya sebagai pembonceng. Adik saya selalu memberi amaran supaya saya tidak membunyikan loceng setiap kali masuk ke kawasan rumah pelanggan kerana dia malu katanya dilihat menjual belacan. Saat itu saya hanya tersenyum lucu. Cuba bayangkan kita hendak berjualan tetapi pada masa yang sama tidak mahu orang tahu bahawa kita menjual barang. Bagaimana ya? Saya menggaru-garu kepala yang tidak gatal, alahai adikku.
Aktiviti saya berniaga terhenti seketika di sekolah menengah disebabkan saya tinggal di asrama. Atau mungkin saya fikir ianya terhenti. Hakikatnya secara saya tidak sedar, bidang ini terlalu sebati dalam diri saya. Di sekolah menengah saya terpilih menyertai koperasi sekolah. Secara langsung saya dan rakan-rakan terlibat menguruskan koperasi sekolah serta asrama. Selalunya 'order' awal akan dibuat oleh guru koperasi, tetapi untuk 'repeat order' barangan koperasi (saya 'in charge' belian koperasi asrama ketika itu), saya adalah orang rujukan 'apek' yang selalu menghantar stok tambahan. Rupanya saya memang tidak boleh 'lari' langsung dari bidang ini, satu kebetulan? Saya percaya ini ketentuan, ya, ketentuan dariNya. Habis cerita sekolah dan asrama yang mewarnakan hidup saya dengan warna-warna pelangi. Yang penting, saya tetap akrab dengan bidang kecintaan saya ini.
Tiba masanya saya ke universiti setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Di universiti, saya seperti biasa, tidak betah duduk diam hanya belajar dan berpersatuan. Saya sentiasa memikirkan bagaimana menambah wang saku (walaupun saya mendapat biasiswa dan pada masa yang sama ayah masih mengirim wang belanja kepada saya yang sentiasa 'kekeringan') serta memuaskan keinginan hati saya yang teringin menimba pengalaman berbeza. Kebetulan pula semasa saya memasuki tahun kedua di kampus, ayah membelikan motosikal bagi kemudahan saya ke kuliah. Jadi alasan saya ingin bekerja part-time adalah bagi menampung belanja minyak motosikal saya. Sebenarnya bukan duit yang saya kejar, dalam fikiran saya, saya ingin mencuba sesuatu yang tidak semua orang buat. Maka dapatlah saya bekerja sebagai 'budak kaunter jualan' serta 'budak fotostat'. Mungkin dalam DNA saya Allah sudah tetapkan keinginan untuk sentiasa mencuba perkara baru dan lain daripada orang lain. Agaknyalah?
Tamat pengajian, saya menyertai salah satu syarikat swasta, kena dengan bidang pengajian saya di universiti iaitu Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan dan Pemasaran). Sungguh saya teruja dengan kerjaya baru ini walaupun cabarannya terutama dari segi mental bukan calang-calang! Tekanan kerja usah dikira, setiap hari saya akan telefon ayah di kampung, menangis hendak berhenti kerja! Namun, ayah tetap ayah, sentiasa bersedia dengan kata-kata semangatnya yang tidak pernah gagal menaikkan semangat saya. Hakikatnya kerjaya saya ketika itu adalah sesuatu yang mencabar di mana saya harus mencapai sasaran jualan yang ditetapkan. Apabila sasaran tercapai, kepuasan yang saya rasakan tidak tergambar dengan kata-kata. Jadi, itulah saya dan bisnes, tidak dapat dipisahkan.
Perjalanan saya terus dicoret warna-warna pelangi ketika saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (belum berstatus Institut ketika saya memulakan pengajian). Disebabkan jadual pengajian yang agak padat, maka dunia kecintaan saya -perniagaan- terhenti seketika. Namun pengajian saya hanya memakan selama setahun. Sebaik sahaja mendapat 'posting' sebagai guru, saya mula berkira-kira berfikir semula bagaimana hendak menggandakan pendapatan saya. Saya bermula semula agak perlahan, namun setelah dapat bertukar kembali ke Pulau Pinang (suami saya orang 'Penang'), ditambah dengan galakan suami, saya mula membuka langkah seribu bagi menambahkan pendapatan. Bermula dengan berjualan kebab (suami saya menjalankan bisnes ini secara sampingan dengan mengupah pekerja berjualan di gerai) dengan mengambil pesanan daripada kawan-kawan di sekolah, saya menjual tudung, kain pasang, kuih sepit dan apa-apa sahaja yang saya boleh jual. Namun, kesemua yang saya buat tidak menjejaskan masa bertugas saya kerana saya hanya meletakkan barangan jualan di rak tepi meja saya, kawan-kawan yang ingin membeli akan pilih sendiri dan letak duit dalam bekas yang disediakan. Itulah saya.
Kini yang terbaru, bisnes homestay saya sudah menampakkan hasil yang agak memberangsangkan di mana setiap minggu pasti akan ada tetamu menginap di 'cottage' kesayangan saya ini. Saya dan suami serta anak adalah 'pekerja' yang mengemaskan homestay setiap kali tetamu 'check-out'. Memang penat tetapi bagi saya, ada satu kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan di mana saya dapat menyediakan penginapan yang selesa dengan harga yang berpatutan kepada tetamu-tetamu homestay saya.
Dalam pembikinan juga adalah bisnes kraf riben dan 'goodie bags' saya. Saya sentiasa sukakan kraftangan. Mungkin bagi sesetengah orang membuat kraf adalah sesuatu yang menuntut banyak masa dan memenatkan, namun kecintaan saya yang mendalam terhadap bidang ini membuatkan saya tidak nampak semua itu. Saya tidak pernah berasa ada kekangan masa untuk saya membuat kraf. Masa itu sentiasa ada bagi saya jika saya mendapat 'ilham' untuk sesuatu projek kraf yang baru. Saya pernah membuat goodie bags untuk sekolah saya secara percuma hanya kerana minat saya yang mendalam. Betapa saya meminati bidang yang satu ini.
Begitulaah serba-sedikit catatan pengalaman saya sejak kecil dalam bidang bisnes dan kraftangan yang menjadi kecintaan dalam hidup saya selepas keluarga yang saya amat sayangi. Moga 'karya' saya dalam bisnes ini akan terus berkembang serta pada masa yang sama memberi manfaat kepada semua insan di sekeliling saya samaada secara realiti atau insan yang 'mengelilingi' saya di alam maya. Sesungguhnya dunia yang tidak bersempadan ini akan menjadi lebih luas untuk kita semua andai kita berkasih-sayang serta saling melengkapi antara satu sama lain. Saya sudahi catatan ini dengan harapan perkongsian ini ada manfaatnya untuk kita bersama. Sekian.
menarik. tapi tak ada tajuk pulak.
ReplyDelete