Friday, July 8, 2016

Potong kuku

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria


Potong kuku adalah hal biasa bagi kebanyakan orang. Tapi tidak bagi Ayah.

Ingat lagi, sewaktu aku masih di sekolah rendah, tugas potong kuku Ayah tergalas di bahu aku. Kata Ayah, aku anak sulung, mesti tahu buat semua perkara. Bak kata orang putih, 'capable of doing everything'. Hehe.

Itulah pentingnya kata-kata yang baik untuk anak-anak, kan? Jadi, dengan kata-kata Ayah itu, aku membesar dengan minda yang mengatakan tiada hal yang mustahil untuk aku lakukan kerana Ayah kata, sebagai aku mesti boleh buat semua perkara, cuba semua perkara, kerana aku contoh pada adik-adik. Faktor aku seorang budak perempuan bukan penghalang, sebab Ayah kata anak sulung tetap anak sulung, lelaki perempuan bukan persoalannya. Hmm, ianya betul2 mencorak pemikiran aku.

Berbalik pada hal potong kuku. Aku boleh kategorikan Ayah dalam golongan perfectionist. Kenapa ye? Hal potong kuku tadi. Kau tahu betapa 'terseksa'nya aku bila ditugaskan untuk potong kuku Ayah. Nak habis 10 jari tangan pun, berjela komen Ayah. Di situ aku belajar banyak tentang kesabaran atau 'perseverance' dengan kerenah orang; dalam kes ni, ayah aku lah. Hehe.

Apa yang susahnya potong kuku? Ok, potong tidak boleh terlalu pendek, tidak terlalu panjang. Kemudian, semua kuku mesti dipastikan bulat elok je, tak boleh senget-senget. Jenuh nak kena belek betul-betul satu-satu jari. Fuh! Kau ingat senang? Rasanya kalau aku ambil kursus manicure, mesti aku antara pelajar cemerlang, yelah practice makes perfect kan? 😁😁.  Masa tu aku selalu fikir, Ayah memang suka nak 'kenakan' aku. Masa itu lah. Tapi sekarang, aku dah faham kenapa.

Sampailah sekarang Ayah masih menjaga kuku dengan stail yang sama. Baru-baru ini balik beraya di kampung, aku terlihat kuku Ayah. Masih seperti dulu, rapi, bersih, dan yang penting masih 'curve' bulat macam dulu. Fuh! Tabik!

Terdetik juga di hati aku, 'dulu aku yang potong kuku Ayah,' ada nostalgia di situ yang membuatkan airmata aku bergenang. Bukan bermakna aku sudah
jauh dari Ayah, tetapi mungkin Ayah fikir tidak mahu 'menyusahkan' anak-anak.

Aku tahu, di sebalik ketegasan Ayah, Ayah perasa orangnya. Mudah terjentik sanubari bila bercerita hal anak-anak. Mak selalu beritahu aku, Ayah selalu puji anak-anak di belakang kami.

Walau tugas 'kecil' seperti potong kuku, ia mengajar aku tentang satu lagi hal kehidupan.

Terima kasih Ayah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment