Tuesday, December 9, 2014

Kadang-kadang terfikir

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam pembaca yang dirahmati Allah. Hidup ini sangat unik dan berselirat kadang-kadang. Apabila apa yang kita harapkan tidak menjadi seperti yang dirancang. Apabila terasa diri seolah-olah tidak menyumbang kepada insan di sekeliling. Kedengaran semua yang berlaku adalah negatif. Namun, saya berusaha di celah-celah kesempitan dan kesibukan, untuk mencari hikmah di sebalik semuanya. Ternyata saya dapat apa yang saya cari.

Jika kebiasaannya suami tidak akan mencampuri urusan kerja saya, namun melihat saya bertungkus-lumus menyiapkan tugasan, suami menyuarakan niat membantu. Tatkala itu, tidak terkata saya. Terkedu pun iya juga. Tidak terlintas saya suami akan membantu walaupun bidang kerja saya ternyata amat berbeza. Kesudian suami membantu membakar semangat saya yang ketika itu sudah menjunam ke dasar Jurang Mariana saya kira! Haha!

Benarlah jika kita ingin yang baik atau positif, kita akan dapat. Begitu juga sebaliknya. Di sebalik tekanan kerja saya yang melampau ketika ini, tatkala segalanya nampak gelap pada pandangan mata ini, dua insan terdekat ini sering menjadi semangat saya. Suami dan anak perempuan. Melihat anak kecil saya, ia seolah menjadi peringatan dari Ilahi bahawa selain kerja, saya punya amanah berat demi dua insan yang saya cintai ini.

Mungkin saya tersalah langkah menerima tugasan yang saya kira dalam kapasiti saya untuk disiapkan. Walau masih tidak tersasar dari matlamat, namun saat 'deadline' makin menghampiri serta melihat timbunan tugasan yang masih belum siap, rasa panik tiba-tiba menyerang. Di saat ini, saya terfikir satu kata-kata yang pernah saya baca, ia berbunyi lebih kurang begini, "dalam hidup ini, setiap apa yang kita lalui, kita hanya perlu memilih antara dua, jadi buat pilihan anda hari ini!".

Teringat kata-kata ini, terlintas di fikiran saya, 'kenapa bersedih menanggung bebanan kerja seorang diri, suarakan, beritahu pihak atasan'. Justeru, saya nekad, daripada berkompromi dengan kualiti kerja saya, yang saya rasa akan terus merosot jika saya teruskan, lebih baik saya berterus-terang secara baik. Mana tahu, ketua boleh mengarahkan rakan sekerja yang lain mengambil-alih. Tanpa berlengah, saya terus 'whatssApp' beliau. Ternyata ia tidak sesukar yang saya gambarkan. Nah! Kadang-kadang suara kecil di dalam diri kita yang selalu membuat andaian melulu memikirkan perkara negatif walhal tiada hal yang seumpama itu berlaku.

Alhamdulillah, permintaan saya untuk meringankan beban kerja nampaknya diambil kira oleh ketua saya. Saya sangat bersyukur. Betullah, kita hanya perlu suarakan apa yang kita mahu bukan? Jangan fikir terlalu lama, bertindak, gunakan bahasa yang baik, in sha Allah, kualiti kerja kita masih ditahap yang boleh dibanggakan. Dalam setiap apa yang saya lakukan, selalunya saya utamakan kualiti daripada kuantiti. Namun tidak dinafikan, dalam dunia sekarang, termasuklah dunia pendidikan, kuantiti juga ditagih untuk membuktikan kualiti. Namun saya teguh berpegang bahawa prioriti pada diletakkan pada kualiti, kemudian disusuli kuantiti.

Akhir kata, marilah kita sentiasa melihat pada sesuatu yang berlaku dalam hidup ini dari sekurang-kurangnya dua sudut pandangan berbeza. Moga dengannya, kita dapat menyelesaikan hampir kesemua cabaran yang kita lalui dengan berfikiran positif. Semoga setiap cabaran mendatang akan lebih mematangkan kita serta akan menambah nilai dalam hidup ini.

Sekian perkongsian dari hati kali ini. Moga bertemu lagi.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment