Thursday, September 4, 2014

Mengorak Langkah Ke Hadapan




Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Koleksi Peribadi

Salam pembaca budiman...
Ini entri pertama saya setelah memilih untuk menjadi salah seorang ahli keluarga ABDR.

Kalau ditanya, apakah yang menjadi inspirasi saya untuk menulis blog? Sebenarnya saya memang minat menulis dan membaca. Macam kedua-dua ni mesti seiring kan? Dari kecil jika ditanya apa hobi saya, terus tanpa berfikir keluar dua hobi ini, dan ia tidak pernah berubah sama sekali sehingga sekarang. Jika ditanya juga, aktiviti blogging ini telah saya mulakan seawal 2010, tapi begitulah, saya akan menulis hanya di pagi minggu, itu pun jika tuntutan kerja tidak merampas hujung minggu saya. Kiranya saya menulis tanpa panduan yang spesifik. Hanya mengikut naluri dan masa senggang yang ada.

Namun, titik tolak untuk lebih serius terhadap hobi ini adalah apabila anak saya dimasukkan ke wad beberapa bulan lalu. Pada masa itu saya terfikir perasaan bersalah terhadap anak kecil saya, yang bersarang di hati ini. Setiap hari di wad, saya sentiasa berfikir dan berharap anak saya cepat sembuh supaya saya dapat kembali bekerja. Hal kerja sentiasa berlegar di minda saya. Perasaan bersalah itu datang kerana akhirnya saya menyedari, saya seolah-olah lebih mementingkan hal kerja berbanding anak saya yang sakit.

Tapi sekejap sahaja perasaan itu lenyap walaupun pada masa yang sama saya telah berkomunikasi beberapa kali dengan salah seorang pengurus ABDR, Sharimah Yahya (rakan saya sejak sekolah menengah sebenarnya). Saya menyatakan kepada beliau tentang keinginan saya untuk menyertai Akademi Bekerja Di Rumah. Banyak kali saya bertanya beliau tentang pakej yang ditawarkan yang sesuai dengan keinginan dan minat saya. Namun semuanya terhenti di situ. Semangat saya tidak kuat. Saya berjanji dengan beliau saya akan maklumkan beliau selepas saya 'bank in' bayaran pakej untuk kelas. Tapi janji tinggal janji. Saya dengan kesibukan kerja yang tidak pernah surut, terus melupakan janji itu berkali-kali.

Akhirnya, perasaan itu datang untuk kesekian kalinya setelah kali kedua anak saya terlantar di wad akibat demam panas yang melampau. Kebetulan hari itu adalah Isnin, jam 2 pagi. Saya masih ada perasaan dalam hati yang berdoa supaya anak saya tidak ditahan di wad kerana saya mahu hadir bekerja esoknya. Betapa saya pentingkan diri pada ketika itu!

Rupanya apa yang berlaku kali ini ada hikmahnya, saya berfikir sambil merenung anak saya yang sangat gembira sebab katanya Mama ada menemani dia setiap hari, walaupun dia sebenarnya tidak suka tinggal di wad. Hampir menitis air mata saya mendengar anak kecil saya berusia 6 tahun meluahkan perasaan begitu. Mulai hari itu, saya bertekad, terus mendaftar secara rasmi dengan saudari Sharimah. Saya fikir, jika saya bekerja sendiri, tentu saya tidak perlu memikirkan hal untuk memohon kebenaran cuti daripada bos. Dan hanya ada satu cara untuk saya bergerak ke arah itu, iaitu menyertai ABDR kerana hobi dan kecintaan saya terhadap penulisan dan pembacaan.

Walaupun hampir beberapa minggu selepas berdaftar saya kurang aktif disebabkan terpaksa bertugas di luar negeri (luar dari Negeri Pulau Pinang tempat saya tinggal, tapi masih di Malaysia) dalam jangka masa yang agak panjang, namun saya kuatkan tekad, akhirnya saya mula menulis entri ini.

Jika direnungkan, jalan untuk berjaya dan mencorak arah yang kita mahu dalam hidup tidaklah sepayah mana, namun keazaman yang tinggi dan istiqamah diperlukan. Di sinilah saya, hari ini mula menulis dengan azam dan tekad untuk menjadi bos kepada diri sendiri dan dapat melihat anak kecil saya membesar di hadapan mata saya sendiri. Doa saya usaha ini berterusan agar kelak saya boleh tersenyum kerana segala momen indah dalam keuarga saya tidak berlalu tanpa saya bersama mereka.

Sekian catatan julung saya. Moga kita bersama ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Amin.

No comments:

Post a Comment