Thursday, February 19, 2015

Perubahan hidup

Teks: Rozanah Zakaria

Dalam hidup, semua orang mesti hendakkan peningkatan, bukan? Tidak terkecuali sesiapa pun rasanya. Namun sejauh mana kekuatan dan keazaman untuk berubah adalah satu hal lain yang berbeza.

Ingin berubah dan berusaha untuk berubah, memerlukan seseorang melangkah dari satu fasa zon selesa, kepada zon yang di luar kotak. Ramai orang bercakap, mereka suka sesuatu yang di luar kotak. Namun, berapa ramai antara kita yang betul-betul bertindak di luar kotak? Soalan ini saya tujukan kepada diri saya sendiri serta pembaca setia blog ini.

Apabila kita memulakan langkah untuk berada di luar kotak, percayalah cakap saya, bermacam halangan akan kita hadapi. Yang pertama sekali adalah suara kecil jauh di lubuk hati kita sendiri. Adakah kita yakin sepenuhnya untuk berubah? Bukan senang untuk merubah sikap yang sudah sebati dengan diri kita, bukan? Jadi, andai diri sendiri belum 'selesai', lemparkan jauh-jauh angan untuk merubah orang lain. Terkejut? Marah? Jangan marah saya ye, ini fakta.

Sekarang, cuba anda lihat sekitar hidup anda. Anda pergi ke kursus bina diri dan kursus motivasi, terutama kursys yang terkenal seperti kelas Dr. Azizan Osman (DAO). Berapa ramai yang berubah daripada ratusan ribu yang menjadi audien Dr Azizan? Hanya segelintir bukan? Kenapa? Tidak cukupkah motivasi diberi oleh seorang yang telah berjaya serta tersohor seperti beliau? Anda sendiri tahu jawapannya!

Seperti salah satu seminar Dr Azizan yang pernah saya hadiri, beliau berkata lebih kurang begini, "Jika anda tidak mahu berubah, datanglah guru dari mana pun, anda akan kekal menjadi orang yang sama,". Mungkin ayat itu tidak setepat seperti apa yang dikatakan oleh DAO, tetapi intipatinya lebih kurang begitulah. Jadi apa maksudnya? Ya, pilihan untuk berubah mencapai sesuatu atau menjadi seorang yang lebih baik adalah di tangan kita sendiri. Jika kita mahu, kita pasti boleh (dengan izin Allah jua). Namun, jika sebaliknya? Kita juga yang pilih corak kehidupan kita, bukan?

Bukan niat saya membebel di pagi hari nan indah ini. Duduk berteleku merenung masa depan sendiri di sofa ruang tamu rumah, membuatkan saya tiba-tiba terfikir hal ini. Dengan kicauan burung ciak rumah yang masuk keluar sesuka hati ke dalam rumah, deruman kenderaan di jalan raya yang memecah hening pagi serta cuaca yang indah pagi ini, saya berasa damai. Namun jauh di sudut hati, ada sesuatu 'mengganggu' fikiran saya. 'Sampai bila aku ingin berada di tahap ini? Tidakkah aku mahu capai sesuatu yang signifikan sebelum umur aku mencapai 40?', hati kecil saya berminolig sendiri.

Seperti yang saya huraikan di atas tadi, saya percaya, ramai yang berkongsi rasa dengan saya. Macam-macam dalam fikiran ini yang ingin dicapai, namun keazaman serta kegigihan yang turun-naik membantutkan perkembangan diri. Ini adalah sesi muhasabah. Mungkin pembaca di luar sana ada cerita menarik tentang diri, tentang kejayaan keluar dari zon selesa, yang ingin dikongsi di sini. Dipersilakan. Kecil tapak tangan, satu padang bila sekolah saya tadahkan. Hehe. Perumpamaan sendiri.

Jadi, dalam kembara mencari diri, bersabarlah duhai teman. Kerana, dalam perjalanan itu nanti, pelbagai onak dan ranjau yang bakal kita tempuhi.

Saya sudahi catatan pagi hening ini dengan keazaman dalam diri untuk merevolusi diri sendiri, menjadi aeorang yang mementingkan masa. Itu resolusi kecil saya setakat pagi ini jam 8.57, di teratak mertua, Permatang Sungai Dua.

Moga setiap impian kita untuk berubah ke arah kebaikan, kecil atau besar, diredhai Allah serta membawa kebaikan kepada semua yang berada di sekeliling kita.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment