Thursday, February 26, 2015

Hidup ini macam-macam

Teks: Rozanah Zakaria
Foto: Rozanah Zakaria

Salam. Inspirasi daripada penulisan otai blogger kak Azura Abdullah. Ini nukilan saya di petang nan indah, dengan langit memerah. Di pekan kecil menyimpan seribu memori, Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Hidup ini macam-macam
Mahu hidup dalam gelap atau dalam terang, itu semua pilihan.
Mahu hidup positif atau sebaliknya, itu juga pilihan.
Harus bagaimana kita kemudi hidup ini? Mahu mudah atau susah?
Itu semua juga pilihan hati kita,
Pilihan akal kita.
Mahu berpandu apa?
Sudah termaktub bukan? Kitab Allah sebagai bekalan mengemudi kapal kehidupan. Tinggal kita menekuni dan mengamalkan.

Sungguh, hidup ini sangat macam-macam.
Aku juga terkadang kurang faham.
Namun aku tahu, mahu capai apa, mahu pergi ke mana, semuanya harus dimulai angan-angan.
Lantas tercipta cita-cita. Dari sana lahir usaha dan daya.
Sejauh mana engkau mahu pergi, terpulang. Bumi ini tinggal untuk kau takluki.
Kerana, mahu bekal dibawa ke alam yang abadi, harus diambil dari sini.

Terlalu amat macam-macam hidup ini.
Kala tersepit, terhimpit, harus engkau mara. Pergi saja mahu ke mana.
Gapai saja apa mahunya.
Lompatlah walau setinggi mana.

Macam-macam hidup ini.
Mahu apa lagi kau mengeluh?
Mahu apa lagi kau tangguh?
Mahu apa lagi kau mengaduh?
Ayuh! Bangkit semua, tuju jalan yang engkau mahu.
Jangan biar alasan membelenggu.
Kerna, hidup sesingkat ini, amat sayang jika kau berfikir, "Ah, macam-macam yang aku perlu lakukan! Semuanya aku!"

Ya, kerna hidup itu macam-macam, dan kerna engkau yang harus kemudi semua ini. Moga menjadi bekal engkau, aku, dia, kamu, mereka ke sana alam abadi nanti.

Sekian coretan dari fikiran dan hidupku yang macam-macam.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment